SENTOSA, 8 Mac 2018 – Menjelang pilihanraya umum ke-14 yang kian terasa bahangnya, parti PAS terus mengorak langkah mendekati pengundi setempat.
Terbaru, PAS Lembah Pantai mengambil kesempatan beramah mesra bersama warga Sentosa di pasar malam mingguan disini.
Program dimulakan dengan ucapan tokoh masyarakat juga pimpinan PAS Kawasan yamg menyeru pengunjung dan peniaga agar menilai kualiti kepimpinan menurut kaca mata Islam.
Ianya penting agar pemimpin yang dipilih kelak adalah yang boleh diharapkan untuk mentadbir negara dan dapat menjamin kesejateraan rakyat disemua peringkat, terutama rakyat bawahan yang sangat terjejas pada situasi sekarang.
“Saya mengajak semua hadirin supaya kita berfikir dan mampu membuat pertimbangan sewajarnya bagi memastikan keamanan dan kestabilan hidup dapat dikecapi akan datang.
“Justeru, menuju PRU 14, ayuh kita melakukan perubahan bagi mencipta Malaysia yang lebih sejahtera,” ujar beliau.
Tokoh masyarakat tersebut bergerak bersama jentera menghampiri gerai dan menyantuni para peniaga serta pembeli disitu.
Kehadiran jentera yang terdiri daripada kalangan petugas Pemuda, Ameerah, Jabatan Pilihanraya PAS Peringkat Kawasan dan Zon, AJK PAS Kawasan dan juga Muslimat disambut baik oleh penduduk sekitar.
“Kita melihat satu perkembangan positif disini yang menunjukkan keberadaan PAS makin disambut baik oleh pengunjung serta para pengundi,” demikian respon Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Encik Ahmad Sathola Khan ketika ditemui.
Majlis turut diserikan dengan persembahan busking dakwah oleh Saudara Kamaruzaman Hussin (Man John) serta edaran cenderamata oleh Ameerah bersempena Hari Wanita Sedunia.