LEMBAH PANTAI, 8 April – PAS Kawasan Lembah Pantai telah mengadakan program edaran risalah Manifesto PAS kepada pengunjung pasar tani di Bazaria, di sini hari ini.
Edaran risalah 20 Manifesto PAS serta penerangan mengenainya itu telah diketuai Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai serta AJK Jentera Pilihan Raya PAS kawasan.
Antara yang hadir dalam program edaran risalah tersebut ialah pimpinan PAS Lembah Pantai iaitu LAr Haji Fauzi bin Abu Bakar yang juga merupakan tokoh serta aktivis masyarakat di kawasan ini.
Dalam program edaran risalah itu, beliau turut menerangkan kepada orang ramai mengenai beberapa tawaran PAS yang terkandung di dalam 20 manifesto antaranya ialah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Sekiranya PAS diberi mandat untuk memerintah negara ini PAS akan memansuhkan cukai GST yang membebankan rakyat dan akan menggantikan dengan alternatif yang lain.
“Antara tawaran penyelesaian PAS kepada GST ialah dengan mengenakan cukai atas Simpanan Syarikat dan Korporat serta cukai terhadap Perdagangan Keuntungan Saham,” jelas beliau dalam ucapannya.
Pada masa sama, LAr Haji Fauzi selaku pimpinan PAS kawasan turut beramah mesra dan mendekati pengundi di sekitar pasar tani tersebut sambil mendengar luahan masyarakat mengenai isu semasa.
Lembah Pantai merupakan antara kerusi yang bakal memperlihatkan pertandingan tiga penjuru dalam pilihanraya umum akan datang.