Home Artikel PAS Pulau Pinang

PAS komited gerakkan bantahan projek PSR

70 views
SHARE

BALIK PULAU: PAS tegas menolak sama sekali projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) dan mahu ianya dibatalkan terus atas kesan buruk yang bakal terjadi ke atas alam sekitar, rakyat dan negara.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, PAS sama sekali tidak menolak pembangunan, tetapi PSR bukan keperluan rakyat dan negara, bahkan berisiko muncul pelbagai masalah.

Menurutnya, aspek paling ketara, PSR akan memusnahkan habitat dan menyebabkan gangguan besar kepada ekosistem laut, selain mengundang pelbagai pencemaran alam dan muka bumi.

“Aspek lain, sosio-ekonomi penduduk, terutama para nelayan akan terjejas dengan teruk di mana sangat besar kemungkinan mereka tiada lagi lokasi penangkapan hasil laut, sekali gus hilang sumber pendapatan.

“Aspek paling memudaratkan adalah terhadap demografi penduduk di mana yang miskin tidak mengira bangsa akan terpaksa berpindah keluar kerana tanah diambil dan menjadi sangat mahal,” ujar beliau.

Kamaruzaman berkata demikian ketika membuat tinjauan di lokasi PSR dengan menaiki bot nelayan bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff di Teluk Kumbar, di sini kelmarin.

Maklumnya, PAS juga menyatakan sokongan kepada semua individu, NGO dan parti politik yang telah, sedang dan akan menggerakkan bantahan projek ini di mana PAS juga akan menggembleng kekuatan solidariti.

Beliau dalam tinjauannya itu sempat bertemu beberapa nelayan yang sedang menangkap ikan dan udang di situ di mana telah meluahkan rasa kesal mereka dengan tindakan pemimpin menipu rakyat.

“Mana kami nak cari makan lepas ni? Jadi pemimpin politik kerajaan, kami bagi amaran, jangan menipu rakyat! Kami ajak semua rakyat tolak pemimpin penipu rakyat,” ujar nelayan tersebut.

Suara tersebut berikutan pengurangan bantuan sara hidup kepada nelayan, selain janji dimungkiri Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang bertemu nelayan minggu sebelum ini kononnya mahu membela mereka.

Jelas nelayan, kawasan laut di perairan tersebut merupakan ‘lubuk’ udang yang memberi mereka hasil tidak kurang RM100 sehari, namun projek PSR nanti akan melenyapkan semua khazanah tersebut.

Terdahulu, warga nelayan yang disokong banyak NGO telah dua kali turun mengadakan demonstrasi bantahan terhadap projek PSR di Parlimen semasa Sidang Dewan Rakyat, awal bulan ini.

Turut serta pada tinjauan tersebut adalah Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaie Dato’ A Rashid dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ahmad Safuan Ujar.