Home Berita PAS Sabah

PAS komited bantu semua golongan terjejas akibat PKP

1154
SHARE

Oleh : Muhammad Salman Darwis
12 April 2020

SANDAKAN : PAS berkomitmen tinggi untuk membantu semua golongan yang terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 tanpa mengira agama, warna kulit, agama mahupun taraf kewarganegaraan.

Ia dijelaskan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid semalam ketika menyampaikan sumbangan pek makanan kepada penerima di Kampung Parit Besar, Batu 3 dekat sini.

“Apa yang tuan puan rasa, itulah juga yang kami rasa dan atas sebab itulah PAS tampil berkali-kali menghulurkan bantuan makanan kepada tuan puan yang memerlukan,” ujarnya yang juga merupakan Yang DiPertua PAS Sandakan.

Tambahnya, PAS di seluruh Sabah dengan kerjasama Khidmat Malaysia Sabah telah membantu pihak yang terputus bekalan makanan ini sejak PKP mula dilaksanakan lagi.

Sahar juga mengharapkan para penerima terus bersabar menghadapi ujian ini disamping sentiasa berdoa kepada Allah agar dimudahkan segala urusan sepanjang tempoh PKP ini.

“Bulan Ramadan juga semakin hampir dan ia adalah peluang kita untuk bermunajat kepada Allah, mudah-mudahan dijauhkan Covid-19 ini daripada kita dan keadaan kembali seperti biasa,” sarannya lagi kepada penerima sumbangan.

“Kami juga merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada para dermawan yang telah menyumbang harta bagi memastikan misi ini berjalan lancar,” tambahnya.

Beliau turut menyeru para penerima sumbangan untuk mendoakan penderma yang telah menyumbang dalam misi ini serta berdoa agar lebih ramai lagi pihak tampil bagi membantu.

“Salurkan ke akaun Bank Islam Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan, 10043010001846 jika ada yang berhajat untuk menyumbang,” ujarnya ketika ditanya nombor akaun bank untuk sumbangan tersebut.