Home Berita PAS Selangor

PAS KLANG | Racun 3 serangkai amerika sejak 1983.

1841
SHARE


RACUN 3 SERANGKAI AMERIKA SEJAK 1983.

Apabila meneliti bencana yang berlaku ke atas umat Islam hari ini yang dikepalai oleh Amerika, pasti kita sedari bahawa tahun 1983 merupakan titik mula penjajahan baharu ke atas dunia Islam.

Amerika yang diterajui oleh Ronald Reagan dari Republican ketika itu telah merencana 3 agenda besar demi menangani ancaman dari Islam yang dijangkakan muncul setelah lemahnya Soviet Union.

Dasar Anti Terrorisme.

Sememangnya istilah terrorisme merupakan kod bahasa prejudis yang merujuk kepada Islam. Ia sebagai instrumen menjayakan kempen Islamphobia untuk jangka masa panjang. Dasar pencerobohan ke atas kepentingan umat Islam beralasankan anti terrorisme telah dimulakan oleh Amerika sejak 1983.

Amerika menyenaraikan 7 negara yang kononnya sebagai paksi terrorisme. Iaitu Cuba, Korea Utara, Iran, Iraq, Libya, Sudan dan Syria. 5 dari senarai tersebut adalah negara umat Islam yang kini telah berjaya dihancurkan, berbaki lagi Iran. Begitu juga kumpulan-kumpulan Islam menjadi sasaran tuduhan terrorisme.

Kini tanpa sedar, Islamphobia telah berjaya meresap menjadi anutan penduduk dunia yang berterusan prejudis terhadap mana-mana usaha mengembalikan Islam sebagai agama yang berkuasa.

Plan Pemetaan Semula Asia Barat.

Plan jahat ini dilakar oleh seorang arkitek politik Amerika yang bernama Bernard Lewis. Ia telah diluluskan oleh Kongres Amerika pada tahun 1983. Selepas era Ronald Reagan, Amerika diterajui oleh George H. W. Bush. Bush ‘senior’ dan kemudiannya Bush ‘junior’ telah melantik Bernard Lewis sebagai penasihat Pentagon. Ini semua menggambarkan plan pemetaan semula Asia Barat dilangsungkan secara konsisten.

Rancangan ini dibuktikan lagi dengan pendedahan Peta Berdarah yang diwartakan oleh Ralph Peters pada tahun 2006.

Semua yang dirancang sejak 1983 dilihat beroperasi secara menggila ketika tragedi Arab Spring yang bermula akhir tahun 2010 hingga kini. Perang saudara sesama umat Islam yang kemudiannya mengadu-dombakan permusuhan sesama negara umat Islam diledakkan dengan mengeksploit sentimen bangsa dan mazhab.

Hasil dari kecelakaan tersebut, telah menjerumuskan dunia Islam kini ke dalam kancah konflik yang tidak berkesudahan. Sementara itu Israel semakin selesa dan dilihat amat berpotensi meluaskan jajahannya seperti yang diidamkan 100 tahun yang lalu. Cita-cita penubuhan Israel Raya semakin hampir untuk direalisasikan.

Badan NED.

NED ialah singkatan dari National Endowment For Democracy, merupakan badan pelaksana perancangan Amerika secara ‘atas tanah’ untuk menceroboh percaturan politik negara-negara lain. Pengasas NED, Allen Weinstein berterus terang bahawa tugas yang dijalankan oleh badan tersebut hanyalah kesinambungan dari usaha yang telah dijalankan oleh CIA secara ‘bawah tanah’ sejak 25 tahun sebelum penubuhan NED.

NED berfungsi melebarkan dasar demokrasi tajaan Amerika. Secara taktikalnya, mereka menyusun dan membiayai proksi-proksi Amerika ke dalam negara-negara sasaran. Dana yang banyak menjadi daya tarikan utama mereka. Proksi-proksi NED banyak menjelma sebagai NGO, namun cukup berperanan mencorak politik negara.

Kita boleh menjenguk laman web NED yang berterus terang menyenaraikan proksi-proksi mereka berserta angka geran pembiayaan yang telah disalurkan. Dalam sebaran internet semakan 2015 untuk negara Malaysia, NED mengaku telah membiayai IRF (Islamic Reinassance Front) seharga $60,000, KiniTV seharga $35,000 serta Merdeka Centre seharga $60,000. Itu semua hanyalah yang diperakui oleh mereka. Sementara rangkaian dan angka dana yang masih mereka rahsiakan dari tatapan umum sudah tentu lebih banyak.

Dari projek demokrasi ala Amerika ini, mereka membenihkan kumpulan dan kempen Islamphobia yang memasarkan anutan liberalisme, sekaligus menjadikan gerakan Islam sebagai sasaran prima.

Celik & Waspada.

Dari racun 3 serangkai ini, melahirkan iklim politik dunia yang sentiasa mendiskriminasikan Islam. Melahirkan umat Islam yang inferior dengan agamanya sendiri dan mendewakan Amerika sebagai Sang Penyelamat dunia.

Kita sebagai umat Islam harus sedar bahawa musuh Islam teramat serius menentang Islam. Menjadi kewajiban ke atas kita untuk mengambil tahu perancangan mereka untuk dijadikan pembayang ancaman ke atas Islam di masa hadapan. Racun 3 serangkai ini bukanlah perkara teori konspirasi, sebaliknya ia adalah fakta konspirasi ke atas Islam yang telah didokumenkan. Cuma kita sahaja yang tidak mengkaji lantas sewenang-wenangnya menganggap pendedahan seperti ini sebagai paranoid.

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
20 Januari 2018.