Home Berita PAS Selangor

PAS KLANG | “Petroleum, Sejarah Nikmat Yang Terjajah”

1089
SHARE

PETROLEUM, SEJARAH NIKMAT YANG TERJAJAH.

Allah memberi kurnia berupa keberkatan kepada umat Islam, bumi yang mereka diami kaya dengan sumber minyak. Ia adalah nikmat kekayaan. Namun ia juga merupakan faktor tercetusnya peperangan yang memangsakan umat Islam dan tanah air mereka.

⚫ Auta British.

Benteng Khilafah Uthmaniyyah, Sultan Abdul Hamid II telah menceritakan di dalam diarinya betapa British terliur dengan sumber minyak yang berada di dalam perut bumi umat Islam.

Pada awalnya, British cuba meyakinkan pihak Uthmaniyyah bahawa kononnya di wilayah-wilayah Islam terdapat banyak artifak bersejarah yang berharga. Bahkan ia bakal membuka jalan baharu demi penerokaan ilmu tamadun terdahulu.

British menawarkan khidmat kepakaran dan buruh untuk menggali lokasi-lokasi yang dikatakan ada kaitan dengan sejarah. Lalu mereka berjanji kononnya artifak-artifak sejarah yang ditemui akan diserahkan kepada pihak Uthmaniyyah tanpa sebarang bayaran.

⚫ Udang Di sebalik Batu.

Kesungguhan British itu cukup mencurigakan. Namun pada waktu tersebut, petroleum merupakan satu sumber kekayaan bumi yang belum dimaklumi secara meluas di kalangan umat Islam.

Maka British mula menggali di beberapa lokasi. Bermula di Anatolia, Mosul dan Baghdad. Secara zahirnya, projek penggalian itu diwartakan sebagai usaha meneroka peninggalan sejarah.

⚫ Bercakap Bohong Lama-lama Mencuri.

Sultan Abdul Hamid II menceritakan, pada satu hari diplomat British datang mengadapnya di istana dengan penuh bersemangat. Diplomat tersebut dengan cukup teruja menyerahkan sebilah pedang ‘antik’ bertatah batu permata. Dia memaklumkan bahawa pedang tersebut dijumpai jauh ke dasar bumi di Mosul. Sultan Abdul Hamid II menulis:

“Duta British tersebut sedang memainkan suatu permainan terhadapku yang tidak aku fahami”

Atas kecurigaan itu, Sultan Abdul Hamid II menyerahkan pedang tersebut kepada pakar barang antik untuk diperiksa. Sultan menulis:

“Mereka mengatakan bahawa sebenarnya pedang tersebut bukanlah pedang kuno. Sebaliknya ia sengaja dibuat sedemikian rupa agar kelihatan seakan-akan seperti pedang kuno”

Barulah terbongkar, bahawa projek mencari barang bersejarah hanyalah helah British untuk mencuri minyak di dalam perut bumi umat Islam.

⚫ Sultan Sekat Projek Gali Minyak.

Sultan Abdul Hamid II mengambil langkah tegas dengan menyekat projek-projek gali minyak yang didalangi oleh British. Bukan sekadar di Iraq, bahkan Hijaz juga merupakan lokasi minyak yang diidamankan oleh British.

⚫ Bermulalah Pemberontakan.

Selepas sekatan Uthmaniyyah terhadap projek gali minyak British, kuasa kolonial itu menggunakan puak-puak Arab agar menjadi proksi bagi pihak mereka seterusnya meledakkan pemberontakan ke atas Khilafah Uthmaniyyah.

Maka bermulalah pemberontakan besar-besaran dari Hijaz. Pemberontakan tersebut dikenali sebagai Revolusi Agung Arab. Mereka sanggup menjadi pemuas nafsu British. Selain dari faktor agama, petroleum juga merupakan antara sebab Uthmaniyyah dijatuhkan. Ini bagi membolehkan kuasa Barat menguasai bumi umat Islam sekaligus merompak kekayaan di dalam perutnya.

⚫ Kaya Namun Terjajah.

Selepas berlangsungnya Revolusi Agung Arab, kemudian jatuhnya Uthmaniyyah dan tercetusnya peperangan antara kumpulan Syarif Hussein dan Bani Saud yang kedua-duanya merupakan buah catur British. Maka berdirilah negara Saudi yang disokong oleh kuasa Barat.

Sejak itu syarikat Standart Oil of California (SOCAL) mendapat hak penuh penerokaan telaga-telaga minyak di Arab Saudi. Bermulalah penguasaan kuasa Barat ke atas kekayaan minyak umat Islam.

⚫ Jadi Rebutan.

Petroleum kaya di bumi umat Islam. Namun kita seolah-olah tidak merasai nikmat kekayaan tersebut. Bahkan ia menjadi faktor yang merangsang peperangan ke atas bumi umat Islam, ekoran dari nafsu menggila penguasa dunia yang dahagakan minyak.

Nabi telah berpesan seolah-olah persis dengan senario yang dialami oleh umat Islam sehingga ke hari ini:

تَقِيءُ الْأَرْضُ أَفْلَاذَ كَبِدِهَا أَمْثَالَ الْأُسْطُوَانِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ ، فَيَجِيءُ الْقَاتِلُ فَيَقُولُ : فِي هَذَا قَتَلْتُ ، وَيَجِيءُ الْقَاطِعُ فَيَقُولُ : فِي هَذَا قَطَعْتُ رَحِمِي ، وَيَجِيءُ السَّارِقُ فَيَقُولُ : فِي هَذَا قُطِعَتْ يَدِي ، ثُمَّ يَدَعُونَهُ فَلَا يَأْخُذُونَ مِنْهُ شَيْئًا

“Bumi akan memuntahkan kekayaannya seperti cecair yang keluar dari saluran, keluar seperti emas dan perak. Maka datanglah pembunuh maka berkata “Demi mendapatkan benda ini aku perlu membunuh”. Kemudian datanglah perompak maka berkata “Demi mendapatkan benda ini aku perlu putuskan hubungan keluarga aku”. Kemudian datanglah pencuri maka berkata “Demi mendapatkan benda ini aku rela dipotong tangan”. Kemudian masing-masing dari mereka meninggalkan barang tersebut dan tiada seorang pun yang berjaya mengambilnya” – hr Muslim.

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
16 November 2017.