Home Berita PAS Selangor

PAS KLANG | “Maqasid Ilmu Sejarah”

1064
SHARE


MAQASID ILMU SEJARAH.

APABILA diutarakan topik sejarah, pasti muncul rasa bosan dan mengantuk di dalam benak fikiran kebanyakkan orang. Subjek ilmu yang cukup penting dan menyegarkan itu telah melalui proses ‘pembosanan’ yang jumud menyebabkan ia menjadi mangsa diskriminasi ilmu.

Mesej Yang Berat Diolah Menjadi Ringan.

Al-Quran merupakan kitab yang membawa mesej yang kritikal. Topik-topik di dalamnya menyentuh realiti dunia dan akhirat. Allah berfirman:

إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا
“Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat” – al-Muzammil 5.

Namun bagaimanakah Allah mempersembahkan mesej yang serba berat itu diolah kepada persembahan yang pantas difahami oleh fikiran manusia? Maka topik-topik berat itu dikemukakan dengan penceritaan kisah-kisah sejarah yang menyegarkan. Nisbah 1/6 dari isi kandungan al-Quran merupakan pengajaran-pengajaran sejarah. Membuktikan betapa pentingnya ilmu tersebut.

Kisah Iblis yang liberal, cerita Firaun si politikus yang cerdik, sejarah pengkhianatan ilmu oleh golongan terpelajar ahli kitab, naratif Bani Israel yang merupakan orang Islam terdahulu sebagai cerminan umat Islam hari ini dan banyak lagi cerita-cerita al-Quran yang mengandungi mesej yang kritikal tetapi dengan olahan yang menarik dan berobjektif.

Manhaj Sejarah Menurut al-Quran.

Mengapakah sejarah yang kita pelajari hari ini kerap dirasakan bosan? Ia disebabkan pembelajaran sejarah hari ini hanya tertumpu sebagai ilmu hafalan, bukan ilmu pengajaran. Akhirnya otak kita keletihan kerana hanya menghafal fakta dan info sejarah, kemudian dibiarkannya terbengkalai tanpa pengajaran yang berkait dengan realiti.

Maka lahirlah ‘sejarawan’ yang berhabuk memuntahkan fakta-fakta sejarah tetapi malang, tidak menekankan pengajaran di sebalik sejarah yang diceritakan. Sedangkan pengajaran itulah merupakan ruh sebenar ilmu sejarah.

Adapun al-Quran, mengemukakan kisah-kisah sejarah yang cukup berobjektif. Mendedahkan 3 perkara penting:

• Watak utama: Tidak meleret menceritakan biodata terperinci. Bahkan terkadang al-Quran tidak menyatakan pun nama watak yang diceritakan.

• Perbuatan dan sikap: Samada perbuatan dan sikap yang benar atau salah, dijelaskan dengan terang.

• Akibat: Ia dijadikan sebagai kesimpulan penuh pengajaran. Akibat berupa ditimpa kecelakaan, hina dan dimasukkan ke neraka merupakan cara al-Quran menyatakan objektif sesebuah kisah sejarah berkenaan golongan yang gagal menuruti ajaran Islam.

Justeru dengan 3 penekanan ini, metodologi ilmu sejarah yang dipersembahkan oleh al-Quran jelas berobjektif. Kita pun tidak ditinggalkan teraba-raba bingung memikirkan apakah pengajaran di sebalik sejarah yang diceritakan oleh al-Quran.

Dengan manhaj inilah, sejarah al-Quran kekal segar. Boleh diproses oleh minda kanak-kanak yang sedang membesar hinggalah menjadi pedoman buat orang-orang tua.

Matang Dengan Sejarah.

Mengapakah para sahabat dahulu jauh lebih matang berbanding kita? Cara mereka berfikir mendahului usia mereka. Ini kerana Nabi tekun membudayakan ilmu sejarah di kalangan para sahabat. Ya, Nabi suka bercerita dan para sahabat tekun menikmati cerita-cerita sejarah yang disampaikan oleh Nabi.

Dari budaya tersebut, menyebabkan para sahabat menguasai pengalaman generasi terdahulu lantas dijadikannya sebagai panduan hidup. Allah berfirman betapa kisah-kisah sejarah di dalam al-Quran cukup merangsang minda kita agar matang berfikir:

فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
“Maka ceritakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) berkenaan kisah-kisah (al-Quran) mudah-mudahan mereka berfikir” – al-A’raf 176.

Sementara kita hari ini lebih disajikan dengan cerita dongeng dan fantasi yang tersiar di televisyen. Disebabkan itulah generasi hari ini berfikiran pendek, kerana terperangkap dalam dunia fantasi yang melalaikan. Orang tua hari ini pun berfikir seperti kanak-kanak.

Komentar Said Qutb.

Al-Syahid Said Qutb telah menjelaskan fungsi ilmu sejarah di dalam bukunya yang berjudul ‘Fi al-Tarikh, Fikrah Wa Minhaj’.

Sejarah bukan semata-mata naratif peristiwa. Sebaliknya ia merupakan tafsiran kepada peristiwa yang berlaku. Dengan ilmu sejarah, manusia boleh menafsirkan realiti yang berlaku. Lantas dikaitkan apa yang sedang berlaku di hadapan mata dengan sejarah yang telah terjadi ke atas generasi terdahulu.

Apabila ilmu sejarah telah dicabut ruhnya dengan tidak dijadikan sebagai bahan berfikir serta hilang deria sensitif terhadap sejarah, maka sudah pasti seseorang akan gagal berinteraksi dengan realiti sungguhpun peristiwa yang berlaku hanyalah ulang-ulangan.

Manhaj Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

Kerap kali kita mendapati pandangan-pandangan TGHH amat jauh terkehadapan melangkaui zaman. Seolah-olah menjadi perkara biasa, pandangan beliau memerlukan masa untuk disaksikan kebenarannya lalu diterima ramai.

Jika dikaji, kekuatan pandangan-pandangan TGHH bersendikan al-Quran, Hadith serta disulam dengan pengajaran sejarah. Ia amat konsisten terlihat dalam setiap ucapan & penulisan TGHH. Lalu dari 3 sendi utama tersebut dibuat kesimpulan yang cukup matang untuk cabaran realiti hari ini.

Ilmu Sejarah Adalah Hikmah Tercicir.

Ramai orang berkata bahawa sejarah pasti berulang. Namun lain pula yang diperkatakan oleh Ustaz Fadli Ghani, pakar sejarah gerakan Islam Malaysia, bahawa yang berulang itu bukanlah sejarah. Sebaliknya yang berulang itu adalah kesilapan yang dilakukan oleh golongan yang buta sejarah. Akibat dari buta sejarah, menyebabkan mereka hanya mengulangi kesilapan generasi terdahulu. Malang.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
26 Januari 2018.