Home Berita PAS Selangor

PAS KLANG | “Larangan Bertudung, Tabiat Jumud Penganut Sekularisme”

2926
SHARE


LARANGAN BERTUDUNG, TABIAT JUMUD PENGANUT SEKULARISME.

Seolah-olah sudah menjadi rutin, usaha dan propaganda larangan ke atas muslimat dari memakai tudung sentiasa berulang. Kempen yang diperjuangkan oleh penganut sekularisme tersebut mula menggila seawal kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah.

Akhbar-akhbar sekitar tahun 1920an hingga 1930an rancak memainkan isu tersebut. Berikut adalah beberapa doktrin yang mereka sebarkan:

• Hijab bukanlah pakaian agama Islam sebaliknya ia hanyalah budaya masyarakat.

• Tiada sebarang dalil syara’ yang mewajibkan hijab.

• Baik dan mulianya seseorang diukur dari hati masing-masing. Bukan dinilai melalui pakaian.

• Berapa ramai wanita berhijab jahat, sementara yang tidak berhijab sebenarnya baik hati.

• Jangan menyekat kebebasan wanita untuk mempamerkan kecantikan yang Allah kurniakan kepada mereka.

• Para sahabiyyat tidak memakai hijab seperti yang dipakai oleh muslimah hari ini.

• Hijab hanya diwajibkan ke atas golongan tua sahaja.

• Perintah menutup aurat adalah satu kezaliman ke atas wanita kerana bercanggah dengan naluri wanita yang suka mempamerkan kecantikan.

• Menutup aurat adalah amalan masyarakat kuno lagi ortodok. Jika mahu maju, berikan kebebasan kepada muslimah untuk mengikuti jejak langkah wanita Barat.

Penganut sekularisme bangga melaung-laungkan slogan kebebasan. Walhal mereka bersikap ultra jumud dengan menceroboh hak wanita muslimah untuk mengamalkan ajaran Islam.

Mereka hanya mengulang-ulang ayat hasutan yang sama sejak dari dahulu. Sedangkan sekarang adalah zaman Islam sedang bangkit. Mereka pasti akan pupus ditelan zaman.

Abdul Mu’izz Muhammad

Ketua Urusan Ulamak

PAS Kawasan Klang

13 November 2017.