Home Berita PAS Selangor

PAS KLANG | Ibrah Al Kahfi : “Istiqamah Berpedomankan Al Quran”

951
SHARE

IBRAH AL-KAHFI: ISTIQAMAH BERPEDOMANKAN AL-QURAN.

Seperti yang telah dimaklumi, surah al-Kahfi mengajar kita kaedah untuk menyelamatkan diri dari fitnah akhir zaman. Kemuncaknya adalah fitnah Dajjal.

Syarat utama untuk selamat, adalah dengan istiqamah berpegang dengan al-Quran. Itulah pesanan pertama dalam surah al-Kahfi.

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا ۜ

“Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya al-Kitab yang tiada padanya bengkang-bengkok” al-Kahfi ayat 1.


Al-Quran Adalah Kitab Istiqamah.

Kalam Allah tiada kontradiksi. Kesemua ayatnya saling kukuh mengukuh antara satu sama lain. Tidak seperti kalam manusia yang berbelit dan bersimpang siur selalu berubah-ubah.

Syeikh Mutawalli Sya’rawi menjelaskan dalam tafsirnya:

“Istiqamah adalah konsisten melangkah ke arah yang sama. Tidak condong ke kanan, tidak condong ke kiri. Manhaj Allah adalah satu-satunya jalan istiqamah yang menjamin kita untuk terus selamat dalam kehidupan”


Jalan Yang Terang.

Syeikh Mutawalli Sya’rawi menerangkan bahawa Allah menguatkan mesej istiqamah dengan sambungan ayat yang kedua:

قَيِّمًا لِّيُنذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَات

“(Al-Quran) Sebagai pedoman yang lurus, untuk mengancam seksaan yang dahsyat dari sisi Allah, dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal soleh” al-Kahfi ayat 2.

Jalan istiqamah mestilah solid memisahkan antara haq dan batil. Mesti mengancam golongan yang menyeleweng dan memotivasikan golongan yang benar-benar beriman. Bukan jalan yang kabur dan penakut berkepentingan.


Al-Quran vs Teori Manusia.

Fitnah yang menimpa ke atas umat, apabila menganggap al-Quran tidak cukup berdaya saing dalam berdepan dengan cabaran zaman moden. Fenomena umat lebih terliur dengan teori-teori ciptaan manusia hingga meninggalkan al-Quran telah diingatkan oleh Nabi:

“Ketahuilah di antara tanda-tanda hari kiamat adalah dibacakannya al-Mathnah. Ketika itu tiada siapa yang mampu melarangnya” Ditanya kepada Nabi “Apakah itu al-Mathnah?” Nabi menjawab “Kitab-kitab yang ditulis selain al-Quran” – hr Darimi.

Awas jika kita sudah mula merasakan jawapan-jawapan al-Quran merimaskan hidup kita. Itu petanda telah terkena sampukan al-Mathnah.


Siapa Yang Ikut Siapa?

Jalan istiqamah adalah, apabila berlaku sebarang permasalahan, kita akan merujuk jawapannya di dalam al-Quran. Seterusnya meneliti syarahan al-Quran melalui sunnah Nabi. Ini jalan yang ditunjukkan oleh para ulama’ rabbani. Sebarang jawapan yang dikemukan oleh nas, itulah yang menentukan sikap dan membentuk pandangan kita.

Namun yang biasa berlaku hari ini apabila berdepan dengan sebarang permasalahan, kita gemar untuk terus memilih pandangan yang selari dengan selera. Selepas itu baru kita menggeledah nas-nas yang kelihatan menyokongnya.

Perlakuan ini seolah-olah nas yang perlu ikut kita, bukan kita yang ikut nas. Semoga Allah menjauhkan kesesatan sedemikian dari diri kita.

Tiada jalan pintas untuk istiqamah selain bersungguh berpedomankan al-Quran. Semoga Allah sentiasa kurniakan hidayah untuk kita.

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
22 September 2017.