Home Berita PAS Selangor

PAS KLANG | Ibrah Al Kahfi : “Bahana Kejahilan”

1326
SHARE


IBRAH AL-KAHFI: BAHANA KEJAHILAN.

Islam merupakan agama ilmu. Ilmu sebagai penyuluh bagi manusia untuk mengenali hakikat dirinya dan Tuhannya. Ilmu juga sebagai pengukur untuk membezakan antara benar dan salah. Semua Nabi dan Rasul menerapkan pembudayaan ilmu dan menentang sebarang projek pembodohan.

Ingatan Surah al-Kahfi.

Allah telah memperingatkan bahawa akibat tiada ilmu, menyebabkan seseorang itu berisiko untuk menjadi sesat.

مَّا لَهُم بِهِ مِنْ عِلْمٍ وَلَا لِآبَائِهِمْ ۚ كَبُرَتْ كَلِمَةً تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ ۚ إِن يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبًا
“Mereka sama sekali tidak mempunyai ilmu berkenaan hal tersebut, begitu juga nenek moyang mereka. Alangkah jeleknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka. Sedangkan tiada yang mereka perkatakan melainkan pembohongan” – al-Kahfi 5.

Golongan yang tiada ilmu selalunya mempertahankan kesesatannya dengan dakwaan kosong. Persoalan senioriti dan pegangan yang semata-mata diwarisi dari golongan terdahulu kerap dijadikan sandaran untuk menolak hujah ilmu. Sikap jumud mereka teramat tegar.

Bahana Kejahilan.

Syeikh Mutawalli Sya’rawi menjelaskan di dalam tafsirnya bahawa terdapat dua akibat kejahilan:

• Menafikan perkara hakikat yang benar-benar wujud.
• Mempercayai perkara palsu yang tidak wujud.

Maka gelagat mereka yang jahil serba tidak kena. Mempertahankan kebatilan yang palsu, menolak kebenaran yang hakiki.

Si Jahil Suka ‘Menganjing’.

Al-Quran turut mendedahkan tabiat golongan yang jahil. Akibat gagal mengemukakan hujah, maka apa lagi yang mampu dibalas melainkan ejekan-ejekan yang menjatuhkan maruah diri mereka sendiri.

Nabi Musa berdoa agar dijauhkan dari tergolong dalam kelompok jahil apabila kaumnya bertanya adakah baginda sedang mengejek. Sekaligus mendefinisikan karektor golongan yang jahil adalah suka mengejek.

قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا ۖ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ
“Mereka bertanya “Apakah kamu (Musa) mahu mengejek kami?” (Nabi Musa) menjawab “Aku mohon kepada Allah agar dijauhkan dari tergolong di kalangan golongan yang jahil” – al-Baqarah 67.

Di dalam surah Luqman pula, ada disebutkan golongan yang jahil pasti mengalami ketagihan mengejek orang yang tekun berhujah serta bermain-main dengan peringatan agama yang serius.

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ
“Dan di antara manusia ada yang mempergunakan perkataan yang sia-sia untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa ilmu yang menjadikannya sebagai ejek-ejekan” – Luqman 6.

Hari ini kita dapati budaya ‘troll’ dijadikan bahan jenaka harian. Hingga terkadang golongan terpelajar pun sanggup menjatuhkan maruah diri sendiri dengan mengejek orang. Tidak sedar perilakunya merupakan petanda kejahilan diri sendiri.

Lambakan Orang Jahil.

Di ambang berlakunya kiamat, Nabi telah mengingatkan akan wujudnya golongan Ruwaibidhah:

وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ
“Dan golongan Ruwaibidhah bebas berkata-kata ketika itu” – hr Ahmad & Ibnu Majah

Ruwaibidhah adalah golongan jahil namun mahu mengeluarkan pandangan sendiri sungguhpun menyeleweng. Nabi menggambarkan fenomena tersebut sebagai era pembohongan yang cukup berleluasa hingga manusia gagal menilai mana yang benar dan mana yang salah.

Kembali Kepada Sumber Ilmu Islam.

Di zaman yang cukup mengelirukan, tiada jalan selamat melainkan kembali kepada asas Islam. Islam tidak didirikan atas rasa-rasa atau agak-agak. Sebaliknya Islam dibentuk kefahamannya dari sumber yang konkrit, iaitu al-Quran dan Hadith.

Maka padanlah ayat pertama surah al-Kahfi, Allah menggagaskan jalan istiqamah mestilah berpandukan al-Quran dan tunjuk ajar hambaNya yang mulia, Muhammad SAW.

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
19 Januari 2018.