Home Berita PAS Selangor

PAS KLANG | “Hari Asyura’ & Fastaqim”

869
SHARE

HARI ASYURA’ & FASTAQIM.

“Aku lebih berhak meraikan Musa berbanding kamu puak-puak Yahudi” – hr Bukhari.

Itulah respon Nabi apabila mendengar dakwaan Yahudi, bahawa mereka merayakan tanggal 10 Muharram kerana memperingati tarikh peristiwa terbelahnya laut yang menyelamatkan Nabi Musa dan melenyapkan Firaun.

Sempena memperingati peristiwa agung tersebut, marilah kita kembali membelek al-Quran tentang makna sebenar istiqamah.

⚫ Jangan Ikut Semberono.

Ketika Nabi Musa dan Nabi Harun mengadu kepada Allah tentang kezaliman Firaun, seterusnya mendoakan kehancuran kerajaan Firaun, Allah membalas:

قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
“Sesungguhnya telah diterima doa kamu berdua, maka istiqamahlah. Dan jangan kamu ikut jalan golongan yang tidak mengetahui” – Yunus 89.

Berdasarkan ayat ini, dijelaskan bahawa:

• Istiqamahnya Nabi Musa apabila bersama teman setianya iaitu Nabi Harun. Keakraban yang tulen kerana perjuangan Islam. Bukan atas kepentingan yang lain.

• Istiqamah adalah jalan yang diasaskan dengan pasak ilmu. Bukan main ikut-ikutan lantas terperangkap masuk ke jalan golongan yang jahil.

• Tidak serik berjuang walaupun melalui masa yang panjang dan tribulasi yang getir. Ibnu Juraij meriwayatkan bahawa Nabi Musa menempuh tempoh 40 tahun sebelum benar-benar melihat kehancuran Firaun yang telah dijanjikan oleh Allah.

⚫ Usah Buat Perkara Yang Islam Tidak Ajar.

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ
“Maka istiqamahlah kamu (wahai Muhammad) seperti apa yang telah diperintahkan kepadamu, dan juga kepada orang yang telah bertaubat bersamamu. Dan janganlah kamu bersikap melampau” – Hud 112.

• Bukanlah istiqamah dengan mereka-reka jalan lain selain yang telah ditunjukkan oleh Nabi. Jangan pandai-pandai buat perkara yang Islam tidak ajar.

• Bersikap santun dengan golongan yang bersungguh dengan Islam. Usah melampau ke atas mereka.

⚫ Tiada Jalan Lain.

Samada sedar atau tidak, setiap rakaat solat kita berdoa agar kekal istiqamah.

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
“Tunjukkanlah kami jalan istiqamah” – al-Fatihah 6.

Jalan golongan yang istiqamah pula diterangkan di dalam ayat yang lain:

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ
“Barangsiapa yang mentaati Allah & Rasul, maka mereka bersama dengan golongan yang dikurnia nikmat oleh Allah. Di kalangan para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan salihin” – al-Nisa 69

• Jalan istiqamah mestilah mengikuti para Nabi. Ajaran, prinsip, tawakkal dan cabaran yang telah diteroka oleh mereka, mengajar kita realiti sebenar perjuangan Islam. Kisah-kisah mereka, terakam di dalam al-Quran.

• Kemudian jalan para siddiqin. Sinonim dengan Saidina Abu Bakar dan para sahabat. Golongan yang serius dengan Islam. Tidak bertapi-tapi dengan Islam. Genggam erat keazaman bersama Islam walaupun terseksa.

• Seterusnya jalan para syuhada’. Mereka yang meletakkan Islam sebagai agenda utama hidup. Sanggup mendahulukan Islam walau tercicir kepentingan-kepentingan yang lain. Hinggalah tergadai nyawa sekalipun. Akhir sekali jalan para salihin.

⚫ Hak Cipta Terpelihara.

Istilah istiqamah adalah istilah al-Quran. Selain dari jalan yang telah dinyatakan oleh al-Quran, bukanlah jalan istiqamah.

Jangan sampai kita tergamak memadankan istilah istiqamah kepada orang yang bukan Islam. Kagum macam mana sekalipun, pujilah dengan pujian yang lain, tapi bukan dengan pujian istiqamah. Berdasarkan al-Quran, syarat utama istiqamah mestilah terlebih dahulu beriman.

⚫ Doa.

Demikian penerangan ringkas tentang istiqamah berdasarkan al-Quran. Faktor ilmu, pergaulan, jalan yang dipilih merupakan perkara utama dalam menjayakan istiqamah.

Cuma jangan kita lupa, semua itu hanya diperolehi dengan belas kasihan dari Allah yang mengurniakan kita hidayah. Justeru, fahamilah betul-betul doa yang kita pohon setiap kali membaca surah al-Fatihah.

Abdul Mu’izz Muhammad

Ketua Urusan Ulamak

PAS Kawasan Klang
29 September 2017.