Home Berita PAS Selangor

PAS KLANG | Golongan Terjajah

538
SHARE


Golongan Terjajah.

Al-Quran memaparkan kisah Bani Israel, mereka pernah menjadi bangsa pilihan Allah. Dikurniakan pelbagai kelebihan, namun melalui babak-babak penindasan yang berlarutan akibat sikap mereka sendiri. Antaranya :

Tidak yakin dengan janji Islam.

Saat terperangkap antara gerombolan tentera Firaun dan laut merah, mereka mempersoalkan di mana janji Allah kepada Nabi Musa. Mereka menganggap Nabi Musa menabur janji palsu tentang masa depan Islam.

Suka ikut ‘trend’.

Setelah Allah memerdekakan Bani Israel dari cengkaman Firaun, mereka menyaksikan penyembahan terhadap berhala menjadi ‘trend’ semasa. Maka mereka tergamak meminta Nabi Musa membina berhala semata-mata tidak mahu ketinggalan ‘trend’. Sedangkan mereka sudah ada Islam, namun tidak puas dengan agama mereka sendiri. Ingin cuba-cuba doktrin ajaran lain.

Suka menjadi pemerhati.

Allah memerintahkan mereka agar bersiap melawan golongan Jabbarin seterusnya membuka Baitul Maqdis. Malangnya mereka hanya menyuruh Nabi Musa bersama Tuhannya pergi berperang, sementara mereka memilih untuk menjadi pemerhati. Ini merupakan terjemahan sikap pengecut mereka yang mahukan kemenangan tanpa bersusah payah.

Beralasan terhadap perlaksanaan syariat.

Berlaku kes pembunuhan sesama Bani Israel tetapi tidak diketahui siapa pembunuh. Mereka memohon agar disediakan solusi. Allah menjawab mereka perlu mengorbankan lembu. Mereka memperlekeh seolah-olah jawapan tersebut tidak realistik. Mereka mencipta alasan demi alasan untuk mempengaruhi persepsi bahawa kononnya syariat Allah terlalu sukar dan tidak berbaloi untuk dilaksanakan. Mereka mempersoal sudut-sudut teknikal. Apabila disergah, mereka suruh orang bersangka baik terhadap mereka. Bani Israel mendakwa mereka besetuju, cuma tidak jelas dari sudut teknikal perlaksanaan.

Lupa Allah setelah menang.

Sejurus selepas Bani Israel berjaya membuka Baitul Maqdis di bawah kepimpinan Nabi Yusya’, Allah perintahkan mereka agar menyambut kemenangan dengan slogan ‘Hittah’ (mohon pengampunan dosa). Malangnya mereka lupa diri dengan perkiraan menang mestilah dengan pulangan material. Mereka ejek perintah Allah dengan menukar slogan kemenangan kepada ‘Hintah’ (gandum).

Pilih pemimpin bukan berdasarkan keupayaan & amanah terhadap ilmu.

Mereka kembali dijajah setelah culas terhadap Islam. Allah melantik Talut, si pencuci tulang sebagai pemimpin mereka memerangi Jalut. Mereka enggan menerima atas alasan walaupun Talut itu soleh, tetapi dia tidak berharta, tidak masyhur dan tidak ada ‘standard’

Sekular.

Bani Israel melalui zaman keemasan di bawah pemerintah Nabi Daud & Nabi Sulaiman. Mereka memerintah dunia dengan syariat Islam. Setelah kematian Nabi Sulaiman, pemerintahan diganti oleh anaknya, Rahba’am. Tiba-tiba muncul golongan sekular diketuai oleh Yarba’am. Mereka memaksa Rahba’am agar meninggalkan syariat Islam yang kononnya sangat menyusahkan dan tiada masa depan. Akibat konflik tersebut terpecahlah mereka kepada negara Yahuza pimpinan Rahba’am yang mahu melaksanakan syariat Islam. Sementara negara Israel sekular dipimpin oleh Yarba’am. Mereka berpecah dan kembali dijajah.

Obses terhadap politik, anti tarbiyyah.

Bani Israel dijajah oleh Rom. Mereka obses membicarakan skandal kezaliman Rom tetapi lupa bahawa mereka turut terhanyut. Allah kirimkan Nabi Isa untuk mentarbiyyah mereka dengan 3 fokus. Disedarkan soal taubat, sebenarnya mereka lemah kerana meninggalkan Islam. Ditekankan soal syariat, bermaksud sebenarnya mereka dijajah kerana meninggalkan syariat. Diingatkan soal akhirat bermaksud sebenarnya mereka dizalimi kerana menganut fahaman sekular yang mengasingkan dunia & akhirat. Namun mereka rasa rimas dengan tarbiyyah Nabi Isa atas alasan tiada masa bercerita tentang retorika agama, kononnya yang penting bagi mereka adalah jatuhkan Rom. Akhirnya Bani Israel melakukan perkara yang cukup aneh. Mereka berkomplot dengan Rom untuk cuba membunuh Nabi Isa.

Banyak lagi pengajaran dari sejarah penjajahan yang berlaku ke atas Bani Israel. Yang pasti, Bani Israel merdeka kerana Islam dan terjajah kerana meninggalkan Islam. Padanlah kita diprogramkan untuk menyebut golongan al-Maghdub yang bermaksud Yahudi dalam surah al-Fatihah setiap kali rakaat solat, sebagai doa agar kita tidak jadi seperti Bani Israel.

Ke arah memerdekakan diri dari sekularisme. Semoga kita tidak jadi seperti Bani Israel.

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang