Oleh: Nur Nafisah
27 Mac 2025
KINABATANGAN: PAS Kinabatangan meneruskan mengadakan program Santunan Kasih Syawal bagi menyantuni para pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Kinabatangan (PPDK), di sini semalam.
Yang Dipertua PAS Kinabatangan, Ustaz Abd Aziz Baitul Makmur bersama Ahli Jawatankuasa PAS Kinabatangan hadir bagi meraikan para pelatih dan tenaga pengajar di pusat tersebut. Mereka turut menghulurkan sumbangan duit raya sebagai tanda ingatan dan kasih sayang kepada golongan istimewa ini.
Menurut Ustaz Abd Aziz, program ini adalah inisiatif pertama yang diadakan oleh PAS Kinabatangan bagi menyemarakkan semangat Syawal dalam kalangan anak-anak syurga serta menghargai jasa para pendidik di PPDK.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan guru dan ibu bapa dalam mendidik serta membesarkan anak-anak syurga ini. Cabaran mereka sangat besar dan memerlukan kesabaran yang tinggi,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen PAS Kinabatangan untuk meneruskan program seumpama ini setiap tahun serta membantu menyediakan kemudahan yang diperlukan oleh pusat pemulihan tersebut.
“Kita berharap lebih ramai pihak akan tampil memberikan sokongan kepada komuniti OKU demi memastikan kesejahteraan golongan istimewa ini terus terjaga,” ujarnya lagi.
Turut hadir adalah Ketua Pemuda PAS Kawasan Kinabatangan, Jumaidin Lakalla dan Ikon Muslimat Muda PAS Sabah, Nur Shahirah Salasain.