Home Berita PAS Sabah

PAS Kinabatangan meneruskan Program Korban Perdana

42
SHARE

Oleh: Basith Samad
23 Julai 2021

KINABATANGAN: PAS Kinabatangan meneruskan lagi Program Korban Perdana yang merupakan program tahunan bersama masjid di sekitar Kinabatangan pada tahun ini, sepanjang tiga hari Raya Aidiladha yang berakhir semalam.

Menariknya program pada kali ini melibatkan kerjasama masyarakat setempat, Ketua Kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) walaupun dalam suasana pandemik.

Menurut Penyelaras PAS Dun Lamag, Jumaidin Lakalla , program anjuran PAS Kawasan Kinabatangan ini merupakan program tradisi setiap tahun dan bilangan mengurus lembu yang dikorbankan pula bertambah berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 11 ekor pada tahun ini.

“Walaupun dalam suasana yang berbeza akibat pandemik COVID-19 dan pematuhan standard operating procedure (SOP) yang ketat, hal ini tidak menjadi penghalang untuk kami terus berusaha membantu mengurus lembu korban yang telah disertai oleh peserta korban dan sumbangan daripada NGO serta masyarakat setempat”, katanya.

“SOP yang mengehadkan bilangan lembu korban di suatu tempat, memberikan lebih banyak peluang kepada kami untuk berkhidmat mengurus lembu korban di pelbagai kawasan di sekitar Kinabatangan seperti di Masjid Al-Ghafar, Taman Seri Setia, Kampung Sungai Lokan, Kampung Seri Manis dan Kampung Jaya Baru,” tambahnya lagi.

Beliau juga menjelaskan, pengagihan sumbangan daging korban pada kali ini berfokus kepada golongan asnaf dan masyarakat di sekitar Kinabatangan yang terjejas akibat pandemik.

“Kami sangat berterima kasih kepada semua peserta yang menyertai program korban kali ini dan juga NGO yang menyumbang lembu untuk dikorban dan diagihkan supaya lebih ramai dapat merasa daging korban,” ujarnya ketika ditemui pemberita.

Turut bersama dalam program ini ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Kinabatangan, Abdul Aziz Baitul Makmur, Sabri Jalpah, Pengerusi SRITI Kota Kinabatangan, dan saf kepimpinan Ahli Jawatankuasa PAS Kinabatangan.