Oleh: Mimi Hazwa MS
21 Julai 2025
KENINGAU: Tradisi menyambut bulan Muharam diteruskan dengan penuh semangat ukhuwah apabila PAS Cawangan Pasir Putih dengan kerjasama PAS Kawasan Keningau menganjurkan program “Jom Kacau Bubur Asyura” yang berlangsung meriah di Seri Tahfiz Al-Ilmi, baru-baru ini.
Program tahunan itu diselaraskan oleh Ketua Biro Perpaduan Nasional Cawangan Pasir Putih, Zulkifli Awang yang menyaksikan tiga kawah bubur asyura berjaya dimasak, dua menggunakan resipi Pantai Timur dan satu menggunakan resipi Utara, dengan jumlah agihan mencecah 271 kontena.
Hampir semua ahli PAS peringkat kawasan, terdiri daripada muslimin dan muslimat, turun padang bagi bergotong-royong menjayakan program tersebut.
Yang Dipertua PAS Kawasan Keningau, Abdel Muin Md Nor bersama Naib Yang Dipertua, Syukri Gazali turut serta mengacau bubur sebagai simbol perpaduan dan keterlibatan pimpinan bersama akar umbi.
Menurut Abdel Muin, program seperti ini bukan sahaja menghidupkan sunah dan warisan tradisi umat Islam, malah menjadi medium yang sangat berkesan untuk memperkukuh ikatan sesama ahli dan masyarakat.
“Bubur asyura bukan sekadar juadah, ia lambang kesatuan, kasih sayang dan semangat kebersamaan. Program seperti ini perlu diteruskan dan diperluaskan agar nilai-nilai Islam terus subur dalam masyarakat,” katanya ketika ditemui semasa program berlangsung.
Lebih bermakna, program ini turut diselitkan dengan ziarah kasih oleh pimpinan kawasan yang diketuai Abdel Muin bersama Timbalan Yang Dipertua, Sahmain Hassim, serta beberapa ahli jawatankuasa, bagi menziarahi ahli PAS yang sedang diuji dengan kesakitan.
Dalam kunjungan tersebut, bubur asyura turut diserahkan kepada petugas kesihatan di Hospital Keningau sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan barisan hadapan.
Program ini bukan sahaja menghidupkan sunah tradisi memasak bubur asyura, malah menjadi platform memperkukuh silaturahim dan semangat kebajikan dalam kalangan ahli serta masyarakat setempat.