Oleh: Mimi Hazwa H.M.Shom
18 April 2023
KENINGAU: Dewan Pemuda PAS Kawasan Keningau dengan kerjasama jawatankuasa PAS Kawasan Keningau dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Keningau telah menganjurkan program khas edaran bubur lambuk secara percuma di sekolah Rendah Seri Tahfiz Al Ilmi, pada Ahad lalu.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Keningau, Ridzqan Wirahadi Kusuma Usup, program itu diadakan untuk mengeratkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan ahli dan sesama masyarakat sekitar daerah Keningau khususnya di samping meraih keberkatan dan fadilat yang ada pada bulan Ramadan terutama pada sepuluh terakhir.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini terutamanya kepada seluruh jawatankuasa gerak kerja yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang telah membantu melancarkan edaran bubuk lambuk ini dari mula sehingga akhir program ini selesai,” ujar Ridzqan.
Ridzqan turut memaklumkan agar aktiviti ini dapat dilaksanakan secara gotong-royong dan dijadikan salah satu tradisi bagi menghidupkan bulan Ramadan pada setiap tahun.
Sebanyak 400 pek bubur lambuk telah diagihkan kepada para penyumbang, ahli jawatankuasa gerak kerja, masjid dan surau sekitar Keningau, pengunjung di bazar Bataras Keningau dan pengunjung di bazar KD Damai Keningau.
Turut hadir Yang Dipertua PAS kawasan Keningau, Abdul Hisham Othman, Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Keningau, Norazian Sapiai dan semua ahli jawatankuasa PAS dan Dewan-dewan PAS Kawasan Keningau serta Persatuan Siswazah Sabah Kawasan Keningau.