Oleh : Zahid Mustafar
KUALA TERENGGANU – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam keras kenyataan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mencadangkan AS ‘mengambil alih dan memiliki Gaza’ atas alasan pembangunan semula.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menyifatkan cadangan itu sebagai satu bentuk kolonialisme moden yang angkuh dan tidak boleh diterima.
“Kenyataan tersebut adalah penghinaan terhadap rakyat Palestin! Ia satu lagi bukti kezaliman imperialis moden yang tamak kuasa.
“Ini bukan pembangunan, ini penjajahan!,” jelas beliau dalam kenyataan rasminya, pada semalam.
Menurutnya, Gaza tidak memerlukan ‘penjajah baharu’ tetapi hanya mahukan kebebasan dan keadilan tanpa sebarang campur tangan asing.
Tambah Khalil yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat berkata, PAS bersedia menggerakkan bantahan secara besar-besaran sekiranya kenyataan tersebut tidak ditarik balik.
“AS tidak ada hak menentukan nasib Gaza!
“Rakyat Gaza hanya perlukan kebebasan dan keadilan, bukan penjajahan!,” tegasnya.
Menurut Muhammad Khalil, PAS berdiri teguh menolak sebarang bentuk penjajahan dan eksploitasi ke atas Gaza serta tidak akan membiarkan kuasa asing merampas hak rakyat Palestin sesuka hati.
“PAS akan terus menyokong perjuangan Palestin sampai ke akhirnya.
“Jangan pandang rendah suara rakyat!
“Jika perlu, kita akan turun ke jalanan, berhimpun di depan Kedutaan AS untuk menunjukkan bantahan keras terhadap cadangan biadab ini,” ujarnya.
Selain itu, PAS turut mendesak Kerajaan Malaysia mengambil pendirian rasmi yang lebih tegas serta menggunakan saluran diplomatik bagi mempertahankan hak rakyat Palestin.
“Dewan Rakyat wajib meluluskan usul khas mengutuk kenyataan Trump!
“Ini bukan sekadar isu Gaza, ini soal keadilan sejagat!
“Jika dunia benar-benar cintakan keadilan, kita mesti bangkit menentang kebiadaban ini!,” tegasnya lagi.