Home Berita PAS Sabah

PAS GESA MAJLIS PERBANDARAN SANDAKAN (MPS) MELANTIK SEGERA KONTRAKTOR BAHARU PENYELENGGARAAN DAN PEMBUANGAN SAMPAH.

2644
SHARE

KENYATAAN MEDIA PAS KAWASAN SANDAKAN

PAS GESA MAJLIS PERBANDARAN SANDAKAN (MPS) MELANTIK SEGERA KONTRAKTOR BAHARU PENYELENGGARAAN DAN PEMBUANGAN SAMPAH.

5 Mei 2020 | 12 Ramadan 1441H

(1) PAS mendesak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) supaya melantik segera kontraktor baharu bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembuangan sampah di seluruh daerah Sandakan.

(2) Ia susulan tamatnya kontrak sebuah syarikat kontraktor lantikan MPS yang difahamkan pada 30 April 2020 lalu telah menimbulkan keresahan dan kegelisahan rakyat ekoran masalah sampah tidak terurus pada tahap kritikal di taman-taman perumahan dan lokasi awam.

(3) Hal ini penting bagi menjamin kebersihan daerah ini khususnya kawasan taman perumahan yang menjadi lokasi penempatan rakyat.

(4) Sewajarnya pihak MPS bersifat proaktif dalam menyelesaikan isu ini dengan melanjutkan seketika tugas kontraktor lama beberapa bulan sementara menanti lantikan kontraktor baharu bagi memastikan pengurusan pembuangan sampah berjalan menurut jadual.

(5) Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana kelewatan melantik kontraktor pembersihan baharu dalam keadaan kontraktor lama telah tamat khidmat memberi kesan buruk kepada kebersihan daerah Sandakan.

(6) Difahamkan juga, kerja-kerja memungut sampah selepas tamatnya tugas kontraktor lama dilakukan oleh petugas MPS dengan menggunakan lori terbuka yang tidak bersesuaian serta tidak efisien dan ia sekaligus mengakibatkan penyelenggaraan dilakukan dengan tidak sempurna.

(7) Antara kesan yang timbul akibat kegagalan ini ialah wujudnya implikasi kesihatan rakyat dengan sampah yang bersepah juga kehadiran lalat yang banyak serta bau yang tidak menyenangkan sekaligus merencatkan keceriaan bandar Sandakan yang dikenali sebagai Bandar Alam Semulajadi.

(8) Isu serius ini perlu ditangani dengan pantas oleh MPS bagi memastikan kebersihan dan keceriaan daerah Sandakan terus terjamin lebih-lebih lagi dalam suasana wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia hari ini.

ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN

SAHAR ABDUL MAJID,
Yang Di Pertua PAS Sandakan,
Merangkap
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah