Home Berita PAS Perak

PAS disebalik kegembiraan 2 juta warga peneroka

89
SHARE

Oleh : Qatrunnada Mohd Latfi

PASIR SALAK, Lebih 2 juta warga peneroka FELDA pastinya amat gembira apabila penghapusan sebahagian hutang warga FELDA berjumlah RM 8.3 billion diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Tawaran manifesto 100 hari PH yang gagal dilaksanakan dalam tempoh 22 bulan memerintah, kini berjaya dilaksanakan di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional.

Kejayaan tersebut menjadi salah satu bentuk manifestasi perjuangan PAS dalam siri meneliti, mendengar luahan, mengadakan program-program pertemuan bersama warga peneroka sejak tahun 1956 lagi.

Pengerusi Lajnah Tanah, Pembangunan dan Orang Asal Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Jamaliah Sudin berkata demikian ketika dihubungi wartawan bagi mendapatkan ulasan berkaitan perkhabaran tersebut.

“Seingat saya, pada tahun 2017 dalam Muktamar PAS Kali ke-63, usul berkaitan nasib peneroka FELDA mula dibangkitkan dan mendapat perhatian meluas para perwakilan ketika itu.

“Malah PAS turut mengenengahkan permasalahan FELDA melalui saranan Datuk Takiyuddin Hassan agar pihak berkuasa membuat penelitian terhadap keraguan isu pindah milik tanah FELDA di Jalan Semarak.

“Kemudiannya, beberapa kali siri pertemuan bersama warga peneroka FELDA diatur PAS khususnya di Pasir Salak membuahkan hasil positif” kata beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Salak.

Beliau menjelaskan, usaha tersebut tidak terhenti di situ sahaja, malah turut diberi perhatian serius oleh Pesuruhjaya PAS Perak, YB Haji Razman Zakaria dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Katanya lagi, PAS amat cakna terhadap permasalahan hutang yang tidak pernah habis walaupun dibayar berpuluh tahun dan berpanjangan menjadi beban para peneroka FELDA.

Sementara itu, Yang DiPertua PAS Kawasan Pasir Salak, Ustaz Mustafa Shaari pula berkata PAS sentiasa terus komited dan istiqamah dalam memperjuang kebajikan masyarakat di Malaysia.

“Ianya selari dengan ajaran Islam berpandukan Al-Quran As-Sunnah. Kepentingan rakyat mestilah diberi keutamaan lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih berlarutan kini,” tegas Ustaz Mustafa yang juga Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Perak.