DUNGUN – Pelantikan Ahli Parlimen daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggotai Kabinet Malaysia dimanfaat sebaiknya untuk menyampaikan dakwah dan kebajikan kepada masyarakat.
Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, tanggungjawab yang dipikul amatlah besar dan berat supaya kesempatan yang diberikan, digunakan sebaiknya.
“Kita perlu memahami realiti dalam suasana kita hendak berdakwah dan perjuangan Islam yang kita bawa ini sampai kepada masyarakat, peluang itu kita ambil untuk sampaikan apa yang kita hasratkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Dungun Kali Ke-62 di Dewan Masjid Darul Bayan, Paka di sini pada 16 Oktober lalu.
Oleh itu, Ahli Parlimen Dungun itu mengajak para perwakilan dan pemerhati yang hadir dalam mesyuarat, merapikan organisasi supaya mencapai persefahaman dan tidak wujud sebarang percanggahan.
“Jangan ada yang bercanggah pendapat dengan Presiden, jangan ada yang bercanggah dengan Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden,
“gangguan yang mengacau perjuangan kita dan suara-suara yang tidak sihat dalam parti, kita kena bersama dengan keputusan yang diputuskan oleh parti, ” tegasnya yang Menang Tanpa Bertanding sebagai YDP sesi 2021-2023.