KUALA TERENGGANU – Parti Islam Se-malaysia (PAS) Terengganu telah memenangi keseluruhan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri semalam.
Kejutan juga berlaku ke atas dua bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dari Barisan Nasional (BN) yang tewas kepada pencabar masing-masing.
Menteri Besar penggal lalu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula berjaya mempertahankan kerusi Dun Rhu Rendang dengan memperoleh majoriti 17,286.
Ahmad Samsuri memperoleh 20,927 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman yang memungut 3,641 undi.
Berdasarkan keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya Negeri, PAS memenangi 32 keseluruhan kerusi DUN dan satu kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.
Calon Pas, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim menerima 68,369 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Azan Ismail yang mendapat 21,103.
Amzad memenangi majoriti 47,266 undi berbanding majoriti 40,907 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.