Oleh : Ez
BUKIT GANTANG,12 Julai : Ibadah korban bukan sahaja dapat mengeratkan ukhwah malah menyuburkan semangat kerja berpasukan dan gotong-royong dalam kalangan umat Islam.
Sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini, PAS Kawasan Bukit Gantang tidak ketinggalan melaksanakannya dengan mengorbankan 9 ekor lembu dan 11 ekor kambing di sini semalam.
YDP PAS Kawasan Bukit Gantang , Haji Rahim Ismail berkata penyertaan melibatkan kalangan ahli-ahli PAS cawangan , pemuda , muslimat ,jabatan Amal serta masyarakat setempat.
“Acara tahunan yang diadakan di sini berlangsung dalam suasana kekeluargaan dan dapat mengeratkan hubungan silaturahim selaras dengan tuntutan agama”, kata Rahim Ismail.
Tegasnya, sifat kemanusiaan perlu wujud dalam diri manusia kerana sebagai makhluk Allah SWT yang bernama manusia, kita perlu hidup bermasyarakat dan saling tolong menolong serta memerlukan antara satu sama lain.
Tambah Rahim Ismail yang juga Ahli Majlis Perbandaran Taiping, tujuan program bukan sahaja memenuhi tuntutan Islam malah dapat menyuburkan semangat kerja berpasukan dan gotong-royong dalam kalangan umat Islam khususnya ahli-ahli PAS.
“Semoga ibadah korban ini diterima Allah SWT dan dapat mengeratkan hubungan sesama ahli PAS dan masyarakat sekitar”, katanya lagi.
Daging lembu korban tersebut diagihkan kepada penerima yang layak menerima sumbangan terdiri asnaf,fakir miskin dan masyarakat setempat.
Program korban yang berlangsung di Perkarangan Surau Al Ahmadiah ,Sungai Petai itu berjaya dilaksanakan dalam suasana meriah dengan kehadiran lebih 150 petugas terdiri dalam kalangan ahli PAS cawangan dan masyarakat setempat.