DUNGUN – Sebagai sebuah parti yang dinamik, PAS bersedia meletakkan calon anak muda dalam mencetuskan variasi politik di tanah air, seiring dengan undi 18 tahun yang akan dilaksanakan.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Senator Ir.Ts. Haji Khairil Nizam Khirudin menyeru pimpinan pemuda mengenal pasti dan mencadangkannya di peringkat kawasan, negeri masing-masing mahupun pusat.
“Tidak semestinya datang daripada Dewan Pemuda, tetapi berkemungkinan boleh datang dan dikemukakan daripada muslimat muda, ataupun ulama muda.
“Dengan adanya cadangan baru ini akan meningkatkan peratusan calon-calon muda yang akan memberikan satu kemenangan yang boleh mempengaruhi anak-anak muda pada masa kini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun (DPPKD), yang diadakan secara ‘hibrid’, di sini, pada Sabtu, 10 Oktober.
Oleh itu, beliau mengarahkan agar jentera pemuda di semua peringkat bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.
“kita memerlukan tenaga yang kompeten dan pemuda perlu hadiri kursus-kursus yang akan dilaksanakan agar dapat bersiap menghadapi PRU dalam suasana yang penuh mencabar ini.
“kenal pasti anak-anak ahli yang berusia 18 tahun ke atas, dimana akan berlaku pertambahan pengundi yang membabitkan jumlah 5.8 juta pengundi seluruh negara,” jelasnya.
Menurutnya Undi 18 adalah yang akan faktor besar yang bakal merubah suasana politik negara.
Oleh itu katanya, golongan muda perlu diberikan kesedaran dan penjelasan melalui pelbagai usaha yang sesuai dalam mendidik dan mendedahkan mereka kepada politik Islam.
Tegasnya, dalam menghadapi suasana baru itu juga akan menyaksikan program ceramah tidak akan dapat diadakan sebagaimana biasa.
“Perlu dilaksanakan dengan cara baru, inovasi politik pada masa kini, semua pemuda PAS gunakan kreativiti untuk memikirkan cara terbaik menggunakan media sosial.
“walaupun berada di kampung dan kawasan pedalaman kebanyakan generasi ini akan sentiasa bersama dengan telefon atau gajet mereka,
“ambil jalan untuk mendekati mereka supaya mereka boleh memilih untuk mengundi calon PAS pada PRU Ke-15 nanti,” ujarnya lagi.