Minda Presiden PAS
[Bil: 69 / 2023]
PAS BERISTIQAMAH BERSAMA ISLAM
Sila baca laporan berita berikut:
***
DAP keluar BA sebab negara Islam
Parti Bertindak Demokratik (DAP) hari ini mengumumkan parti itu menarik diri daripada pakatan pembangkang Barisan Alternatif (BA).
Keputusan penarikan diri parti itu diumumkan oleh setiausaha agung parti Kerk Kim Hock di sidang akhbar khas yang diadakan di Petaling Jaya, petang tadi.
Menurutnya keputusan itu diambil selepas parti itu mengadakan satu mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), tengahari tadi.
“Pemimpin DAP dan Parti Islam Semalaysia (PAS) telah bertemu selama dua jam di Kuala Lumpur pagi tadi bagi berbincang dan menyelesaikan isu penubuhan negara Islam,” katanya.
“Selepas perbincangan itu, parti DAP telah mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi melihat laporan perbincangan itu dan menerima usul penarikan diri parti ini,” katanya.
“Melihat kepada kegagalan DAP dan PAS dalam menyelesaikan isu penubuhan negara Islam, CEC memutuskan bahawa tidak ada lagi keperluan untuk DAP terus bersama BA,” tambah Kerk, memetik daripada usul jawatankuasa.
Tiga belas undi menyokong usul tersebut, dua menentang dan tiga undi berkecuali.
Sementara itu seorang sumber memberitahu Malaysiakini bahawa 11 pemimpin DAP dan enam pemimpin daripada PAS telah hadir semasa perbincangan pagi tadi.
Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/4786
***
Saya merupakan salah seorang daripada kalangan mereka yang hadir dalam majlis dialog tersebut. Ramai yang ada pada masa itu telah meninggal dunia kembali ke rahmatullah.
Dalam dialog tersebut, kami wakil PAS menerangkan konsep negara Islam bermasyarakat majmuk yang adil terhadap semua.
Mengapa mereka boleh menerima ideologi sosialisme dan liberal kapitalisme yang datang dari Barat, bukan buatan China atau India (made in China/ India), tetapi tidak boleh menerima konsep negara Islam yang tidak ada paksaan beragama dan adil kepada semua? Mereka menjadikan hukum jenayah hudud dan qisas sebagai alasan untuk menolak konsep tersebut.
Kami menerangkan prinsip hukum Islam yang wajib menerima keadilan Allah dan kebijaksanaan-Nya serta prinsip mendidik masyarakat. Hukum Islam menetapkan syarat-syarat yang ketat dan sukar dalam aspek kehakiman, kesaksian, dan segala prosesnya yang seakan-akan mustahil untuk dilaksanakan sehingga terlalu payah jika hendak dijatuhkan hukuman.
Hanya manusia luar tabii sahaja yang melakukannya. Namun, kehebatan hukum Islam terbukti berjaya mendidik masyarakat.
Di samping itu, kami menyebut perbandingan dengan hukuman bunuh di tali gantung, hukuman sebat yang zalim menyeksa, dan lain-lain dalam undang-undang ciptaan manusia yang masih diamalkan, dengan proses kehakiman dan saksi fasiq yang ditolak oleh Islam.
Banyak lagi aspek lain dalam politik, ekonomi, sosial, dan sebagainya yang terdapat dalam ajaran Islam yang sempurna.
Ternyata sekiranya Islam dilaksanakan adalah sangat menarik orang bukan Islam untuk menerima hukum Islam dan agama Islam. Inilah sebenarnya yang menakutkan.
Ada pula dalam kalangan DAP yang menerima, tetapi lebih ramai yang disingkirkan. Malangnya, ada pula kalangan mereka yang meninggalkan PAS dan UMNO serta meninggalkan prinsip perjuangan mereka dengan menjadi pasukan gurkha DAP.
Mereka juga menolak perkara-perkara yang berkait dengan penganut Islam sahaja seperti Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 yang dikecualikan terhadap orang bukan Islam mengikut Perlembagaan Persekutuan dan disebutkan juga dalam al-Quran. Firman Allah SWT:
سَمَّـٰعُونَ لِلۡكَذِبِ أَكَّـٰلُونَ لِلسُّحۡتِۚ فَإِن جَآءُوكَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُمۡ أَوۡ أَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡۖ وَإِن تُعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ فَلَن يَضُرُّوكَ يَضُرُّوكَ شَيْـًٔا ۖ وَإِنۡ حَكَمۡتَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٤٢ﱠ
“Mereka itu ialah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan perkara yang haram (rasuah dan lain-lain). Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) antara mereka atau berpalinglah daripada mereka. Jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan memberikan mudarat kepadamu sedikit pun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) antara mereka dengan adil. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang adil.” [Surah al-Ma’idah: 42]
Walaupun sebab awal turunnya ayat ini adalah kerana menghadapi kaum Yahudi Ahli Kitab, tetapi pengajarannya kepada seluruh manusia.
Sebabnya, ternyata kini mereka menamakan bahaya ‘Gelombang Hijau’ yang dijadikan sebahagian daripada Islamofobia yang diuar-uarkan di sesetengah negara Barat, sehingga ada yang membenarkan kitab suci al-Quran dibakar hangus kerana geramnya yang melulu, bukan dengan hujah yang adil.
PAS tetap mendukung konsep demokrasi yang sinonim dengan konsep tiada paksaan beragama dan kebebasan berfikir mengikut sempadan budaya ilmu. Hal ini berpandukan perintah dalam firman Allah SWT:
ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ ١٢٥ وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّـٰبِرِينَ ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ ١٢٧ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ ١٢٨ﱠ
“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (125) Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126) Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah, dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan. (127) Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128)” [Surah al-Nahl: 125–128]
PAS tidak boleh diheret dengan mudah sehingga terpengaruh dengan berbagai-bagai pihak yang gila akan kemenangan percuma, walaupun sanggup menipu rakyat dan menabur janji-janji bohong.
Slogan kami ialah selamatkan rakyat dengan ikhlas kerana perintah Allah dan mendapat keredaan-Nya, walaupun dimarahi oleh manusia yang tidak sihat akalnya dan walaupun ada yang berilmu tetapi tanpa hidayah kerana kesombongannya.
Dalam perjalanan perjuangan, PAS sentiasa berwaspada kerana peringatan Allah SWT:
وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ ٥٠ ﱠ
“Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan sebagai pemelihara terhadap kitab-kitab yang lain itu. Maka, putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah jual kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu. (48) Dan hendaklah kamu memutuskan perkara antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya, Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya, kebanyakan manusia ialah orang-orang yang fasiq. (49) Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (50)” [Surah al-Ma’idah: 48–50]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Safar 1445 / 25 Ogos 2023