Home Kenyataan Media Presiden PAS

PAS Beristiqamah Bersama Islam

239 views
SHARE

Kenyataan Media Presiden PAS
PAS BERISTIQAMAH BERSAMA ISLAM

PAS mengajak rakyat bersama Islam.

Seruan ini ditujukan kepada orang yang telah Islam supaya kembali kepada Islam yang sempurna, setelah meninggalkan banyak daripada ajaran dan petunjuknya. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ (208} البقرة

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam semuanya dan janganlah kamu ikut langkah-langkah syaitan, (kerana) sesungguhnya dia itu musuh yang nyata terhadap kamu” (Surah Al-Baqarah: 208)

Termasuk juga kalangan bukan Islam diajak bersama Islam tanpa dipaksa menjadi penganutnya atau mereka terus dengan agama asalnya tetapi menerima Islam menjadi penyelesaian terhadap semua masalah masyarakat dan negara secara menyeluruh.

Islam yang bermaksud Al-Din mengikut bahasa Al-Quran, bukan sekadar agama atau religion mengikut bahasa lain, kerana dalam Islam bukan sahaja perkara agama yang difahami oleh mereka, tetapi juga adanya perkara yang ditangani semua ideologi dan teori ciptaan manusia.

Inilah Islam secara ilmu daripada sumbernya yang sebenar. Jangan hanya merujuk maklumat daripada musuh dan tentera upahannya yang selalu melaporkan secara tidak jujur dan salah. Tujuannya untuk mengelirukan masyarakat kerana gagal berhujah terhadap Islam.

Kerasulan Nabi Muhammad S.A.W yang membawa Islam itu adalah rahmat dan adil kepada seluruh manusia. Berbeza dengan Rasul lain sebelumnya yang hanya untuk kaum pada zamannya sahaja. Maka semua umat manusia adalah umat diajak bersama Islam, sama ada umat ijabah yang telah menganut Islam supaya beramal setelah beriman atau umat dakwah yang diajak bersama Islam tanpa paksaan menganutnya dan menerima pemerintahan Islam yang adil terhadap semua.

Kalau penganut berbagai agama bukan Islam boleh menerima ideologi dan teori politik, ekonomi dan lain-lain, yang asing daripada mereka sehingga berjuang bermati-matian di hutan rimba. Mengapa mereka tidak boleh menerima penyelesaian Islam dengan diberikan peluang secara demokratik melalui pilihan raya?

PAS tetap mendukung kedudukan Islam yang menjadi agama negara sebagaimana dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dengan maksud Al-Din, bukan mengikut bahasa penjajah. Perlembagaan juga menegaskan hak beragama kepada penganut agama lain yang dijamin oleh Islam. Sepatutnya takrif agama mengikut bahasa penjajah itu ditinggalkan kerana salah dan kita sudah merdeka.

PAS tetap membawa pendekatan Islam sebagai satu cara hidup (the way of life) dan bermasyarakat madani dalam lapangan yang luas yang tidak ada dalam agama lain, kerana Islam melibatkan politik, ekonomi dan lain-lain, yang menjadi lapangan terciptanya berbagai ideologi dan teori yang dipisahkan daripada agama dan tidak sempurna kerana tidak memenuhi fitrah manusia dan alam semesta. Maka Islam adalah petunjuk Allah Pencipta Alam dan menjadi tawaran PAS kepada masyarakat majmuk berbagai agama dan bangsa dalam negara ini.

PAS telah membuktikan melalui pemerintahannya di Kelantan sehingga kini, pernah memerintah di Terengganu dan memimpin kerajaan campuran di Kedah, walaupun dalam keadaan tersekat-sekat oleh tindakan Kerajaan Pusat yang tidak menghormati konsep demokrasi dan federalisma mengikut Perlembagaan Persekutuan. Gangguan terus dilakukan oleh kalangan anti Islam yang berpolitik ketika berkuasa memimpin parti kerajaan memerintah dan kini pula mengadakan pakatannya bersama pembangkang di kalangan parti-parti dan NGO yang tidak memerintah.

PAS sekurang-kurangnya telah membuktikan kerajaan yang bersih dan sebenarnya beramanah dengan pengakuan oleh pihak kerajaan yang ada sekarang, melalui kenyataan di Parlimen terkini, bahawa tidak ada seorang pun pemimpin PAS yang disiasat oleh pihak SPRM.

Sebenarnya masih banyak perkara yang boleh diberikan peluang kepada PAS untuk menjadi bukti bahawa Islam boleh menyelesaikan masalah yang telah gagal diurus oleh semua ideologi dan teori ciptaan manusia, sehingga mencetuskan masalah yang belum diselesaikan dan muncul pula masalah baru. Percayalah bahawa Islam terbukti adil dan rahmat kepada semua kaum, sekiranya tidak ada halangan oleh Kerajaan Pusat seperti dahulu.

Hujah mereka yang menentang Islam itu tidak lebih daripada menghina secara jahil dengan memilih mana-mana hukumnya yang difikirkan secara salah. Di antaranya, Hukum Hudud dan hukum halal dan haram yang dituduhnya zalim dan tidak sesuai, walaupun Hukum Allah adalah maha adil dan rahmat terhadap hamba-Nya. Allah menetapkan hukum dalam perkara yang tidak mampu difikirkan oleh akal manusia dan memandu akal dalam perkara yang di luar kemampuannya.

Hanya sebahagian kecil yang dicabutnya daripada syariat Islam. Mereka tidak peduli bahawa Hukum Hudud itu lebih berkonsepkan mendidik bukannya menghukum, mendahulukan konsep taubat dan pengampunan dan meletakkan syarat yang sukar bagi hakim yang adil menjatuhkan hukuman.

Adapun kehaibatannya dapat dilihat sebelum lagi dilaksanakan, kerana menunggu prosesnya yang betul, namun sudah menggerunkan bukan sahaja penjenayah, bahkan bukan penjenayah sehingga lebih bersimpati terhadap penjenayah bukannya mangsa.

PAS telah meluluskannya di Kelantan dan Terengganu melalui proses demokrasi apabila mendapat majoriti besar dalam pilihan raya negeri tersebut, hanya sekarang menunggu mengikut proses demokrasi federalisma yang diamalkan. Maka tidak perlu lagi diulangi dalam manifesto terkini kerana telah diketahui oleh umum dan juga telah termasuk dalam kenyataan untuk melaksanakan Islam yang menyeluruh berkonsepkan adil dan rahmat kepada semua.

Mereka dilupakan atau disembunyikan atau jahil, bahawa semua agama dan kerajaan juga punya hukum hudud (yang dinamakan hukuman mandatori) yang ada dalam semua agama dan negara dalam dunia ini.

Mereka boleh menerima hudud ciptaan manusia itu, walaupun betapa kejamnya seperti hukuman bunuh menjerut leher di tali gantung dan sebatan menyeksa sehingga cacat anggota atau membunuh bukan mendidik. Hukum yang dicipta oleh mereka itu dengan konsep yang paling kuno, jakun, longgar dan mudah menghukum. Orang yang dituduh boleh menjadi mangsa fitnah dengan mudah dan sikap mereka yang mengkritik itu lebih bersimpati kepada penjenayah daripada mangsanya.

Sebenarnya mereka bebal kerana buta Al-Quran atau bersifat jahiliah tanpa hidayah. Betapa Islam tidak menghukum penganut bukan Islam dalam perkara yang dihalalkan oleh agama mereka, berkonsepkan tidak ada paksaan dalam agama dan hukum yang berkait dengan agama.

Islam juga memberi hak kepada bukan Islam untuk memilih undang-undang mereka sendiri dalam perkara tertentu. Dalam amalannya, ada juga undang-undang yang sama seperti undang-undang jalan raya, ada yang berbeza seperti undang-undang keluarga, halal dan haram, dan ada pula yang diberi pilihan seperti beberapa undang-undang jenayah.

Mereka yang benci terhadap Islam itu sengaja tidak ingin tahu, betapa penyelesaian Islam yang dicadangkan oleh PAS bukan hanya Hukum Hudud itu sahaja, dan dianggapnya pula tanpa sistem kehakiman yang adil dan holistik. Sedangkan di sana ada penyelesaian PAS dalam lapangan yang luas dalam kehidupan, seperti masalah kemiskinan, kos sara hidup, pengangguran dan keruntuhan moral yang merosakkan institusi keluarga, masyarakat dan negara yang gagal diselesaikan oleh semua teori dan ideologi ciptaan manusia itu.

Mereka tidak menghormati keterbukaan PAS membuka perbincangan dengan semua pihak sebelum dibawa ke Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Kalau tidak ada hujah, mereka yang pernah berkuasa itu pernah memberi amaran mahu bertindak menggunakan kekerasan terhadap Kerajaan Negeri, bukannya hujah secara ilmu dan bermoral, bahkan sehingga melanggar Perlembagaan Persekutuan dan bertindak tanpa akhlak yang mulia.

PAS tidak akan berganjak daripada Islam dan menolak semua kumpulan yang menolak apa sahaja daripada syariat Islam atau bersekongkol dengannya, sama ada dahulu, kini dan seterusnya.

PAS tetap mengambil pendekatan demokrasi, walaupun menempah kekalahan dalam pilihan raya berulang kali. Insya Allah, PAS tidak boleh diperkudakan atau di anak tanggakan oleh orang-orang yang mahu memanjat PAS.

PAS tetap bersama mengamalkan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang menerang bukan menyerang secara melulu. Walaupun terus menjadi sasaran diserang oleh semua pihak daripada segenap penjuru dengan menggunakan media lama dan baharu, sama ada secara langsung atau menggunakan tentera upahan.

PAS tetap tegas dan berterus terang bersama Islamnya walaupun menghadapi tentangan banyak penjuru dalam pilihan raya dan selepas pilihan raya. Walaupun juga ada yang tidak berminat dan benci terhadap PAS kerana Islamnya dan ada yang keluar meninggalkan PAS setelah bersamanya kerana jemu atau boleh dibeli dengan pangkat dan harta yang diberikan atau harapan kepada janji. Benarlah firman Allah:

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنْفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ (42) التوبة

“Kalaulah (perjuangan Islam ini) benda yang dekat sahaja atau perjalanan yang hampir dapat disaksikan tujuannya, nescaya ramailah kalangan mereka bersamamu, tetapi mereka melihatnya jauh dan berkepayahan. Mereka akan bersumpah, Demi Allah! Kalaulah kami berkemampuan nescaya kami bersamamu juga. Sebenarnya mereka membinasakan diri sendiri dan Allah Maha Mengetahui sebenarnya mereka berbohong” (Surah At-Taubah: 42)

Mereka hanya mahu kemenangan dunia melalui jalan pintas, walaupun berwala’ kepada musuh Islam, bersama pakatan dan gagasannya yang bercampur aduk tanpa batas. Allah mendedahkan hasrat mereka:

بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا (138) الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا (139) النساء.

“Beritahu kepada mereka yang munafik itu, bahawa disediakan untuk mereka azab yang menyeksakan. (138) Mereka itu ialah kalangan yang mencari kekuatan atau, kemuliaan atau kemenangan dengan berwala’ (berketua atau bersetia) kepada orang-orang kafir (yang nyata menentang Islam), bukannya kepada orang-orang yang beriman. Adakah mereka menganggap kekuatan atau kemulian atau kemenangan berada bersama orang-orang yang kafir itu? Padahal itu semua adalah kepunyaan Allah (139)” (Surah An-Nisa: 138-139)

Rasulullah S.A.W mengajar umatnya berpolitik, diizinkan bertahaluf dan bertaawun dengan semua pihak, termasuk kalangan bukan Islam yang nyata tidak bermusuh terhadap Islam dan umatnya dengan bersyarat Islam memimpin dan beristiqamah di atas prinsip Islam dan wawasannya yang sebenar.

Islam adalah sempadan yang tidak boleh dilangkah dan dirempuh atau diletakkan di belakang tanpa menjadi panduan dan petunjuk. Maka PAS yang beristiqamah bersama Islamnya tidak berganjak daripada dasar dan matlamatnya.

Kini PAS mengadakan gagasan dan pakatannya yang dipimpin oleh Islam bersama kumpulan Islam dan bukan Islam, parti politik, termasuk NGO dan tokoh yang tidak berpolitik tetapi peka politik dan bukan Islam yang menerima tawarannya.

PAS menyertai pilihan raya. PAS tidak bersama kerajaan BN yang telah lama memerintah dan ketinggalan atau cuai menegakkan Islam sehingga dibebani masalah lama dan terkini yang belum diselesaikan.

PAS tidak bersama Pakatan Harapan yang mengumpulkan semua jenis yang nyata menentang Islam atau nyata oportunisnya semata-mata mahu kuasa dengan apa sahaja cara dan pendekatannya tanpa sempadan akhlak dan mempertahankan negara dan maruahnya.

Tegasnya, bahawa semua yang menolak Islam tidak boleh bersama PAS, walaupun paling cerdik ilmunya sehingga mengatasi akal atau paling lama pengalamannya sehingga bertongkat dagu ke bumi.

PAS tetap membawa pendekatan Islam secara damai, tidak melampau dan tidak hanyut, berkonsepkan berhubung dengan semua pihak secara terbuka dengan pendekatan politik damai dan berhujah tanpa fitnah dan menipu. Tidak disembunyikan Islamnya, memperkenalkan konsep Taawun dan Tahaluf, tidak menafikan apa yang baik yang telah dilaksanakan oleh semua pihak termasuk kalangan yang paling bermusuh dan paling menzaliminya dan meninggalkan semua yang mungkar walaupun di dalam diri sendiri, bukan sahaja oleh pihak yang lain.

Sekiranya PAS berjaya memerintah, PAS akan terus menggunakan jentera kerajaan yang telah ada sekarang bersama pendekatan Islam yang adil terhadap semua dan melaksanakan Islam yang melakukan penambahbaikan, bukannya meruntuh dan memecat kerana dendam terhadap lawannya.

PAS berpegang kepada konsep maaf dan taubat terhadap semua, dan mengutamakan keamanan dan perdamaian, sekiranya diizinkan oleh Allah mencapai kemenangan terhadap sesiapa yang menerima Islam bersama PAS. Apa sahaja kebolehan dan kepakarannya tetap diambil manfaat untuk membangunkan negara bersama Islam, berpandukan sabda Rasulullah S.A.W:

خياركم في الجاهلية خياركم في الإسلام إذا فقهوا

“Mereka yang terpilih kebijaksanaannya di masa jahiliyah, terpilih juga bersama Islam apabila mereka mereka memahami Islam”

Tegasnya berpandukan firman Allah:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (153)

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah, Allah perintahkan kamu supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-Anaam: 153)

PAS teguh beristiqamah bersama Islam dan tetap menolak sesiapa yang menolak Islam walaupun orangnya paling cerdik, kerana cerdiknya tidak boleh ditumpang dan bodohnya tidak boleh berkira.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 10 Rejab 1439 / 27 Mac 2018