Home Kenyataan Media Presiden PAS

PAS Beristiqamah Bersama Islam

3692
SHARE

PAS BERISTIQAMAH BERSAMA ISLAM

Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah kesinambungan perjuangan menegakkan Islam yang memerintah, bukan Islam yang diperintah. Islam yang berkuasa, bukan Islam yang dipaksa. Inilah kesimpulan daripada persidangan para ulama dan pemikir Islam yang diadakan di Johor, selepasnya di Selangor dan berakhir dengan penubuhan Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) di Seberang Perai pada tahun 1951. Dalam Undang-Undang Tubuh PAS menegaskan bahawa Islam adalah tertinggi.

Seterusnya PAS meluaskan lapangannya ke medan politik negara sehingga hari ini dengan menghidupkan semula syariat Allah yang dilupakan dan menegaskan bahawa politik sebahagian daripada Islam. Walaupun tidak mudah PAS menghadapi kejahilan umat Islam yang tenggelam dalam pengaruh penjajah dan para ulama yang sangat lemah kedudukannya, dan para pemimpin yang dibentuk mengikut acuan penjajah. Rakyat pula tenggelam dalam kejahilan terhadap agama sendiri walaupun masih kasih dan setia kepada Islam tetapi memisahkan urusan duniawi daripada agamanya menyebabkan urusan kehidupan, tindak tanduk dan perilaku khususnya dalam aspek politik tidak dikaitkan dengan dosa dan pahala.

PAS adalah tali arus daripada gelombang kebangkitan Islam sebagai Al-Din yang tidak boleh dimatikan dengan kewafatan Rasulullah SAW. Cahaya Islam yang datang di rantau ini adalah yang sempurna, di Islamkan rakyat dan kerajaannya yang beramal dengan syariat, sehingga tidak boleh dipadamkan ilmunya dengan kejatuhan Melaka tahun 1511, diikuti dengan kedatangan penjajah berbagai bangsa daripada Eropah dengan semangat Perang Salib yang berusaha menghakiskan jati diri umat Islam, sehingga memberi gambaran yang buruk terhadap Islam.

Islam dibangkitkan semula dengan penubuhan kumpulan Islam yang silih berganti apabila penjajah mengharamkannya bertalu-talu. Kumpulan Islam di rantau ini melibatkan para ulama, raja-raja dan rakyat yang tidak berpisah. Perjalanannya menyumbangkan para syuhada dan siddiqin yang setia kepada Islam sehingga kini.

PAS menghidupkan semula hukum politik Islam yang dikuburkan oleh penjajah yang mahu mematikan kuasa Islam di seluruh dunia. Namun cahayanya gagal dimatikan, apabila ilmunya tetap hidup, serta ditubuhkan kumpulan Islam yang menghidupkan syariat politiknya di seluruh pelosok dunia Islam.

PAS adalah mata rantai yang bersambung, walaupun khilafah (pemerintahan Islam) dijatuhkan oleh penjajah itu sejak hampir satu abad dan mereka berjaya memecahkan umat Islam dan tanah airnya yang dibahagi-bahagikan di kalangan mereka.

PAS tetap beristiqamah di atas dasar Islam dalam semua keadaan sama ada ketika pasang dan surut gelombang politik tanah air. PAS menegakkan Islam mengikut sekadar kemampuan kuasa yang ada apabila menubuhkan kerajaan negeri di Kelantan tahun 1959-1978 dan 1990 sehinggqa kini dan Terengganu tahun 1959-1961 dan 1999-2004 dan memimpin kerajaan negeri Kedah tahun 2008-2013. PAS pernah menyertai kerajaan pusat tahun 1973-1978 dan pernah menjadi pembangkang yang paling sedikit kerusinya, namun terus membawa suara Islam di mana sahaja kerusinya di Parlimen dan DUN, termasuk dalam masyarakat yang tidak ada wakil rakyatnya.

Kerjasama PAS dengan pihak lain tetap bersempadankan Islam. PAS terus tidak berganjak menegaskan Islam, yang tidak boleh ditinggalkan atau dipinggirkan oleh mana-mana pihak, walaupun dengan kuasa yang terhad di peringkat negeri dan bersabar bersama konsep negara federalisma yang dicabul.

PAS menyertai Kerajaan Campuran dan Barisan Nasional (BN) dengan syarat yang tegas supaya tidak diganggu dasar Islam dan perjuangannya, serta diberikan peluang untuk berdakwah dan menerapkan Islam dalam jentera dan institusi kerajaan. Akhirnya PAS dikeluarkan daripada BN pada tahun 1979 apabila kumpulan sekular kuat menguasai Umno dan BN selepas ketiadaan Almarhum Tun Abdul Razak, menyebabkan disingkir beberapa pemimpin yang bersemangat agama di dalam Umno di Semenanjung seperti Tan Sri Jaafar Albar, Datuk Harun Idris dan disingkir pemimpin BN di Malaysia Timur seperti Tun Abdul Rahman Yaakub dan Tun Datu Mustafa serta diikuti PAS ditendang keluar.

Selepasnya pula PAS menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah bersama Parti Semangat 46 dengan syarat menerima Islam sebagai Al-Din, sehingga berjaya di Kelantan dan berusaha melaksanakan syariat, lalu diberi amaran keras oleh Perdana Menteri di masa itu sekiranya melaksanakan syariat Islam yang diusahakan dan akhirnya Parti Semangat 46 tiada lagi.

Kemudiannya PAS menyertai Barisan Alternatif (BA) dalam titik persamaan menentang penyelewengan dan salah laku tanpa gangguan terhadap Islam yang menjadi pegangan PAS, namun tetap tegas walaupun DAP keluar daripada BA kerana anti Islamnya. Seterusnya Pakatan Rakyat (PR) ditubuhkan dan akhirnya terkubur apabila hendak dipinggirkan cita-cita Islam dan wujudnya usaha mahu mengugurkannya kerana agenda politik mengatasi kepentingan Islam.

PAS juga menolak segala usaha meminggirkan kuasa umat Islam daripada persada politik Malaysia di atas konsep Malaysian Malaysia, namun PAS tetap menerima hakikat masyarakat majmuk di Malaysia. PAS dengan tegas mendukung konsep Islam itu adil terhadap semua tanpa mengira perbezaan agama dan kaum yang berpandukan Al-Quran.

Firman Allah:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩ النساء

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah An-Nisa’: 58-59)

Inilah ayat-ayat yang mendukung konsep kuasa politik sebagai satu amanah terbesar dan mendukung negara adil terhadap semua bertonggakkan kepimpinan Islam Ulil Amri (kepimpinan ulama dan umara) serta tegak di atas aqidah dan rukun-rukun iman yang paling asas iaitu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Inilah simpulan kukuh yang menjadi pegangan PAS, dipegang oleh pemimpin dan ahli yang setia dan diikat dengan baiah. Adapun yang tidak setia pasti dikeluarkan atau melompat keluar walaupun tiada siapa yang tahu keikhlasannya, namun Allah tetap melakukan penapisannya bagi menyelamatkan perjuangan Islam. Firman Allah:

مَّا كَانَ ٱللَّهُ لِيَذَرَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ عَلَىٰ مَآ أَنتُمۡ عَلَيۡهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ ٱلۡخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُطۡلِعَكُمۡ عَلَى ٱلۡغَيۡبِ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَجۡتَبِي مِن رُّسُلِهِۦ مَن يَشَآءُۖ فَ‍َٔامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦۚ وَإِن تُؤۡمِنُواْ وَتَتَّقُواْ فَلَكُمۡ أَجۡرٌ عَظِيمٞ ١٧٩ آل عمران

“Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Dia tetap menguji kamu) sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman) dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib akan tetapi Allah memilih dari kalangan RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-RasulNya dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar).” (Surah Ali-Imran: 179)

PAS melaksanakan usaha politiknya dengan kajian sendiri, mengerahkan tenaga, harta, jiwa raga dan pemikirannya bagi mendapatkan kemenangan dengan keyakinan kepada janji-janji Allah yang memberi kemenangan apabila memenuhi syarat-syaratnya dan boleh mengisi kemenangan dengan beristiqamah, bukan sekadar kemenangan sahaja. Mereka yang tidak yakin kepada kemenangan seperti ini pasti ditinggalkan oleh PAS atau meninggalkan perjuangannya.

PAS menghayati firman Allah:

لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ ٤٢ التوبة

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu. (Dengan sumpah atau baiah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).” (Surah At-Taubah: 42)

Firman Allah:

مَّسَّتۡهُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٞ ٢١٤ البقرة

“Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat).” (Surah Al-Baqarah: 214)

Firman Allah:

هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢ الأحزاب

“Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. (11) Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja. (12)” (Surah Al-Ahzab: 11-12)

PAS tetap sabar menunggu dan melihat sesiapa sahaja dan bila-bila masa terhadap semua pihak yang boleh menerima Islam yang menjadi perjuangan PAS dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang boleh berbeza pendapat tetapi tidak berpecah, memilih konsep mesra dan damai serta bertaawun dalam perkara kebajikan dan taqwa dan tidak bekerjasama dalam perkara dosa dan permusuhan, berpandukan Firman Allah:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢ المائدة

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Surah Al-Maidah: 2)

Di atas konsep inilah, PAS menyokong walaupun dibawa oleh kerajaan apabila bersifat kebajikan dan taqwa. PAS menentang apabila adanya kemungkaran dan PAS berkecuali apabila bercampur di dalamnya tanpa dipisahkan. Inilah BPMS yang tidak boleh difahami oleh kalangan yang memisahkan politik daripada agama.

PAS tetap berpandukan politik Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W yang beramal dengan Al-Quran apabila mengiktiraf kebaikan dan kebajikan daripada semua pihak termasuk daripada kalangan musuh yang paling jahiliah, begitulah juga menentang kemungkarannya walaupun daripada diri sendiri.

PAS tetap mempertahankan ruang Islam yang masih dipelihara oleh Perlembagaan dengan tafsiran Islam sebagai agama persekutuan dan PAS menentang sesiapa sahaja yang mahu merungkaikannya dan menafsirkannya dalam lingkungan kefahaman warisan penjajah kerana kita sudah merdeka, tidak kira sama ada dalam kalangan Melayu yang sempit atau bukan Melayu. PAS adalah parti Islam yang berasaskan aqidah, bukannya semata-mata ideologi sekularisme, protesme dan oportunisme.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 20 Rabiul Awal 1439 / 9 Disember 2017