Home Artikel PAS Sabah

PAS beri komitmen kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am

159
SHARE

Oleh : Hadjabal Abu Saini
16 April 2021

SANDAKAN : PAS Sandakan menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sandakan dalam menjayakan agenda kebajikan di daerah ini.

Komitmen tersebut dinyatakan oleh Timbalan Pesurujaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid dalam kunjungan hormat ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sandakan di Batu 7 semalam.

Katanya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sandakan lagi kerjasama ini amat penting kerana pihaknya terlibat secara langsung dengan isu kebajikan dalam masyarakat lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan wabak COVID-19.

“Pihak kami banyak berhadapan dengan kes kebajikan seperti OKU, warga emas, anak yatim, orang miskin perceraian dan banyak lagi, jadi kerjasama ini amat penting untuk menyelesaikan masalah yang timbul,” jelasnya.

Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sandakan, Rohainah Abbas ketika menerima kunjungan tersebut berbesar hati atas komitmen yang diberikan oleh PAS Sandakan dan menyatakan pihaknya bersedia memberi kerjasama yang sewajarnya bagi menjayakan agenda ini.

Dalam pertemuan itu, Sahar turut merakamkan ucapan terima kasih bagi mewakili masyarakat awam kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sandakan yang telah banyak membantu urusan rakyat yang terhimpit dengan masalah tertentu.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain, Ketua Pemuda PAS Sandakan, Mohd Ramlan Pandi dan Pegawai Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sandakan, Rodin Suri Arif.