Oleh : Laila Ismail.
17 Febuari 2019
SANDAKAN : Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Batu Sapi pagi ini turun beramah mesra mengedar kuih bahulu sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Umum Sandakan dekat sini.
Program ini telah dihadiri oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu dan Nur Izzati Abdullah, Ketua LKK PAS Kawasan Batu Sapi, serta penggerak PAS Batu Sapi yang lain.
Edaran yang dilakukan seawal jam 7 pagi itu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat cina termasuk yang datang membeli keperluan harian serta peniaga yang ada di sana.
Norsah menyatakan kegembiraan dapat berkongsi keberuntungan pada tahun ini kepada masyarakat cina di Sandakan khususnya.
Turut sama dalam program ini ialah Ketua Pemuda PAS Batu Sapi, Masru Mustaqeem, Ketua Pemuda PAS Libaran, Nasruddin Lahapin serta AJK Muslimat PAS Libaran.