BATU, 25 Ogos – Ahli PAS kawasan Batu tidak melepaskan peluang melaksanakan ibadah korban sempena hari tasyrik terakhir hari ini. Ibadah tersebut telah disempurnakan dalam Program Korban dan Akikah PAS Batu yang diadakan di perkarangan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) seawal jam 8 pagi dan berakhir lebih kurang pada pukul 2 petang tadi. Program yang berlangsung dengan meriah itu dihadiri oleh kira – kira 50 orang ahli PAS kawasan Batu dan Wangsa Maju serta para tetamu dari kawasan sekitar.
Sebanyak enam ekor kambing dan dua ekor lembu telah dikorbankan dalam program ini. Naib Yang Dipertua (NYDP) PAS Kawasan Batu, Hj Abu Bakar bin Abdul Rahman telah mengambil tanggungjawab menyembelih lima ekor kambing manakala penyembelihan seekor kambing lagi disempurnakan oleh ikon dakwah tersohor, Ustaz Abdul Halim bin Hafidz. Encik Asri bin Awang yang berpengalaman dalam mengendalikan haiwan korban pula ditugaskan untuk menyembelih dua ekor lembu pada program tersebut.
Aktiviti melapah, memotong dan mengagihkan daging korban dilaksanakan oleh para petugas muslimin manakala ahli – ahli muslimat pula merewang untuk menyediakan bahan – bahan masakan bagi memasak hidangan jamuan selepas itu.
Paling menarik sekali, empat menu utama yang dihidangkan dalam program ini adalah dari air tangan para pimpinan PAS kawasan Batu sendiri.
Timbalan Yang Dipertua PAS Batu, Hj Shamsuddin bin Yaacob telah memasak kari kambing manakala isteri beliau, Puan Mazliza binti Abdul Rahman pula menyiapkan sup tulang. Selesai tugas penyembelihan, NYDP Batu sempat menyediakan ‘signature dish’ beliau iaitu sup kambing.
Daging masak kicap yang dimasak oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Batu, Hjh Salbiah binti Abd Wahab melengkapkan lagi menu makan tengah hari program itu. Para petugas dan tetamu yang hadir memuji – muji keenakan masakan para pimpinan ini. Menu utama itu dihidangkan bersama nasi putih, sayur goreng campur, sambal belacan dan air oren yang disediakan secara gotong royong oleh Ameerah dan Dewan Pemuda PAS Batu.
Daging korban yang diperoleh dari program ini turut diagihkan kepada para petugas dan juga fakir miskin di kawasan sekitar Batu.
Program Korban dan Akikah PAS Batu ini diakhiri dengan dengan aktiviti membersihkan kawasan program oleh para petugas muslimin dan muslimat di bawah seliaan Dewan Pemuda PAS Batu. Para hadirin memberikan maklum balas yang baik terhadap program tersebut kerana berjaya menyempurnakan ibadah korban sempena Aidil Adha tahun ini sambil menjalinkan ukhuwwah sesama ahli PAS Batu dan masyarakat sekitar.