Home Minda Presiden

PARTI WAJIB DIPELIHARA DAN DIPERTAHANKAN KEMENANGANNYA

5
SHARE

Minda Presiden PAS
PARTI WAJIB DIPELIHARA DAN DIPERTAHANKAN KEMENANGANNYA


Kita telah menunaikan satu kewajipan yang besar apabila Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ditubuhkan, kerana ia merupakan perintah Allah yang diwajibkan ke atas kita. Namun begitu, hanya kalangan yang dipilih oleh Allah sahaja yang diberi kurniaan untuk bersama parti ini bagi memikul kewajipan menyambung perjuangan Rasulullah SAW ketika Islam dalam keadaan dagang dan umatnya dalam keadaan lemah.

Keadaan ini berlaku selepas kejatuhan daulah Islam (negara Islam) yang berkuasa pada awal abad yang lalu. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang menyeleweng daripada agamanya, maka kelak, Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela! Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Ma’idah: 54]

Allah menjanjikan kemenangan di dunia dan akhirat kepada sesiapa yang dipilih menjadi ahlinya. Hal ini demikian kerana, mereka menunaikan kewajipan amar ma‘ruf dan nahi munkar, kemudian ditarbiah pula dengan ilmu dan pelaksanaannya yang mewajibkan beberapa perkara. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ ٢٠٠

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu, dan tetaplah bersedia (melaksanakan tugas) dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu berjaya!” [Surah Ali ‘Imran: 200]

Ayat ini menerangkan ciri-ciri kumpulan yang berprinsipkan aqidah (keimanan), bersifat dengan sabar (menghadapi ujian dalaman), musabarah (sabar dalam menghadapi musuh) dan kewajipan ribat (melaksanakan tugas di posisi yang ditetapkan) dengan menanamkan sifat taqwa.

Secara objektifnya, kumpulan yang memenuhi tasawur (gambaran) inilah yang dinyatakan layak menang dan mengisi kemenangan, sepertimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦

“Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya, pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 55-56]

Parti yang bersifat Islam ini wajib dipelihara bagi menunaikan kewajipan meneruskan perjuangan menegakkan Islam sehingga berkuasa dengan berdaulat, dan terus mengisi kemenangan yang jauh perjalanannya. Dengan berkonsepkan dasar dan kepimpinan yang teguh, parti ini dapat meneruskan perjalanannya bermula dari wawasan dunia hingga akhirat.

Sifat terpentingnya ialah:

1. Wala’ (taat setia) secara mutlak kepada Allah dan Rasul-Nya (al-Quran dan Sunnah). Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh dia telah sesat, sesat yang nyata.” [Surah al-Ahzab: 36]

Hal ini ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh (Perlembagaan PAS) yang menjadi undang-undang paling tinggi yang tidak boleh dipertikaikan.

2. Wala’ (taat dan setia) kepada kepimpinan yang terpilih daripada kalangan orang yang beriman dan beramal soleh, serta tidak berpisah daripada dasar parti. Di samping itu, kepimpinan ini mestilah menjaga hubungannya dengan Allah dan hubungan dengan manusia, serta berdisiplin dalam menjaga adab berjemaah dan perpaduan parti.

Ketaatan kepada kepimpinan itu adalah disiplin yang wajib dipelihara oleh semua ahli parti. Kepimpinan ini merangkumi semua pihak yang dilantik, sama ada secara syura (pemilihan muktamar), dilantik oleh pimpinan pusat menyertai pasukan kepimpinan, ataupun dilantik mengikut tugas masing-masing dalam pentadbiran parti.

Termasuk jawatan Pesuruhjaya Negeri, penentuan calon dalam pilihan raya, pelantikan Menteri Besar apabila menang di peringkat negeri, dan wakil rakyat yang menggalas tugas-tugas penting apabila beroleh kemenangan. Semuanya adalah keputusan pusat yang wajib ditaati.

Sabda Rasulullah SAW:

وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا، وَإِنْ أُمِّرَ عَلَيْكُمْ ‌عَبْدٌ ‌حَبَشِيٌّ.

“Dengar dan taat kepada yang dilantik menjadi pemimpin sekalipun dia seorang hamba abdi (yang berkulit hitam).” [Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Madaniyyin, no. 16649, daripada Ummu al-Husain]

Ketaatan dan wala’ adalah wajib selagi tidak melakukan perkara maksiat. Antara yang paling besar ialah perkara yang menyentuh aspek aqidah dan dasar parti.
Adapun bagi kesalahan yang tidak melibatkan dasar, maka diwajibkan taat kepada arahan perjuangan yang betul dan tidak bersifat maksiat, walaupun pemimpin itu melakukan maksiat yang tidak berkait dengan dasar. Sabda Rasulullah SAW:
الْجِهَادُ وَاجِبٌ عَلَيْكُمْ ‌مَعَ ‌كُلِّ ‌أَمِيرٍ، بَرًّا كَانَ أَوْ فَاجِرًا، وَالصَّلَاةُ وَاجِبَةٌ عَلَيْكُمْ خَلْفَ كُلِّ مُسْلِمٍ، بَرًّا كَانَ أَوْ فَاجِرًا، وَإِنْ عَمِلَ الْكَبَائِرَ.
“Melaksanakan tugas jihad itu wajib ke atas kamu bersama ketua (pemimpin) yang baik atau jahat. Mendirikan solat itu wajib ke atas kamu di belakang setiap Muslim yang baik atau jahat, sekalipun dia melakukan dosa besar.” [Riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Jihad, no. 2533, daripada Abu Hurairah]
Sabda Rasulullah SAW:
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، ‌مَا ‌لَمْ ‌يُؤْمَرْ ‌بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ.
“(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) kepada setiap Muslim dalam perkara yang disukai (dipersetujui) dan dibenci, selagi tidak diperintahkan melakukan maksiat; apabila diperintahkan melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, no. 7144, daripada ‘Abdullah bin ‘Umar]
Hikmahnya adalah untuk menjaga perpaduan dalam jemaah, memastikan pergerakan jemaah tidak terhenti dan musuh gagal mengambil kesempatan. Perjuangan harus tetap bergerak, kerana dalam jemaah adanya ramai ahli yang terus melaksanakan kewajipan tanpa memikirkan jawatan dan habuan, hanya ikhlas kerana Allah.
Firman Allah SWT:
وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٤٦
“Dan taatilah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu saling berbantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu, serta bersabarlah. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” [Surah al-Anfal: 46]
Adapun tugas untuk membetulkan kesalahan ketua itu hendaklah dilakukan dengan nasihat atau tindakan, khususnya oleh pemimpin yang lebih tinggi kedudukannya.
Begitu juga perkara yang menjadi keputusan mesyuarat, wajib dipatuhi termasuk oleh kalangan yang tidak sependapat.
Firman Allah SWT:
فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ ١٥٩
“Maka, disebabkan rahmat daripada Allah, kamu bersikap lemah lembut terhadap mereka. Dan sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari kelilingmu. Oleh sebab itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” [Surah Ali ‘Imran: 159]
Mesyuarat ialah ijtihad untuk mendengar hujah yang lebih kuat atau mentarjih beberapa pendapat, sama ada mengikut ijtihad ketua ataupun pandangan majoriti dalam perkara yang tidak jelas hujahnya.
Segala pencapaian dan kemenangan wajib dipertahankan dengan menjaga kesetiaan dan adabnya demi perpaduan jemaah.
Pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat mengikut arahan apabila Usamah bin Zaid RA dilantik menjadi ketua walaupun ramai yang tidak berpuas hati kerana faktor usianya yang terlalu muda. Selain itu, para sahabat juga mentaati Khalid bin al-Walid RA dan ‘Amr bin al-‘As RA walaupun mereka berdua baru sahaja memeluk Islam.
Maka, mengikut arahan parti sangat penting bagi mempertahankan kemenangan di kawasan dan negeri, serta wakil rakyat yang menang. Menteri Besar yang dilantik di negeri yang diperintah dan lain-lain pelantikan oleh parti wajib dipatuhi bagi mempertahankan kemenangannya.
Arahan parti yang bersifat strategi wajib dipatuhi, sama ada diketahui dan difahami ataupun tidak, seperti dalam perkara kerahsiaan yang perlu disembunyikan daripada intipan musuh. Inilah disiplin yang sangat penting dalam perjalanan parti.
Sabda Rasulullah SAW:
‌مَثَلُ ‌القَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالوَاقِعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا، فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا، وَنَجَوْا جَمِيعًا.
“Bandingan kalangan atasan yang menjaga perjalanan mengikut sempadan Allah laksana kumpulan yang berada dalam sebuah kapal. Ada kalangan yang berada di tingkat atas dan ada yang berada di tingkat bawah. Tiba-tiba, mereka yang berada di tingkat bawah memerlukan air yang perlu melalui mereka yang berada di atas. Mereka yang berada di bawah merasa terhalang untuk mendapatkan air dengan segera, lalu ada daripada kalangan mereka berkata, ‘Bagaimana jika kita tebuk sahaja kapal ini (untuk dapatkan air dengan segera) tanpa peduli terhadap mereka yang berada di atas kerana tidak mahu mengganggu mereka.’ Kalau dibiarkan mereka itu bertindak (menebuk kapal), nescaya semuanya akan binasa ditenggelamkan. Jika ada yang bertindak menghalangnya, maka semuanya akan selamat.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Syarikat, no. 2493, daripada al-Nu‘man bin Basyir]
Allah telah mengambil tindakan disiplin terhadap para sahabat RA dalam Peperangan Uhud, apabila mereka berlumba-lumba turun dari bukit sedangkan mereka diperintahkan supaya mengawalnya. Hal ini berlaku apabila umat Islam memperoleh kemenangan awal, menyebabkan musuh berundur dan meninggalkan banyak harta ghanimah. Keadaan itu membuatkan mereka sibuk memungut harta ghanimah, sehingga melupakan arahan ketua dan tidak lagi mendengar perintah ketua kerana mengejar harta ghanimah.
Maka, Allah mengambil tindakan disiplin terhadap mereka dengan serangan balas oleh pihak musuh sehingga ramai yang gugur syahid, dan mendapat luka-luka, termasuklah Rasulullah SAW sendiri. Firman Allah SWT berkenaan peristiwa ini:
وَلَقَدۡ صَدَقَكُمُ ٱللَّهُ وَعۡدَهُۥٓ إِذۡ تَحُسُّونَهُم بِإِذۡنِهِۦۖ حَتَّىٰٓ إِذَا فَشِلۡتُمۡ وَتَنَٰزَعۡتُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِ وَعَصَيۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَآ أَرَىٰكُم مَّا تُحِبُّونَۚ مِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلدُّنۡيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلۡأٓخِرَةَۚ ثُمَّ صَرَفَكُمۡ عَنۡهُمۡ لِيَبۡتَلِيَكُمۡۖ وَلَقَدۡ عَفَا عَنكُمۡۗ وَٱللَّهُ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ١٥٢
“Dan sesungguhnya, Allah telah memenuhi janji-Nya kepada kamu, ketika kamu membunuh mereka dengan izin-Nya sampai pada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusan itu dan menderhakai perintah (Rasul) sesudah Allah memperlihatkan kepadamu apa yang kamu sukai. Antara kamu ada orang yang menghendaki dunia dan antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian, Allah memalingkan kamu daripada mereka untuk menguji kamu, dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan Allah mempunyai kurnia (yang dilimpahkan) atas orang-orang yang beriman.” [Surah Ali ‘Imran: 152]
Apabila mereka bertanya, “Kita di pihak yang benar, mengapa jadi begini?” Firman Allah SWT menjadi jawapan:
أَوَلَمَّآ أَصَٰبَتۡكُم مُّصِيبَةٞ قَدۡ أَصَبۡتُم مِّثۡلَيۡهَا قُلۡتُمۡ أَنَّىٰ هَٰذَاۖ قُلۡ هُوَ مِنۡ عِندِ أَنفُسِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ١٦٥ وَمَآ أَصَٰبَكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡتَقَى ٱلۡجَمۡعَانِ فَبِإِذۡنِ ٱللَّهِ وَلِيَعۡلَمَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ١٦٦ وَلِيَعۡلَمَ ٱلَّذِينَ نَافَقُواْۚ وَقِيلَ لَهُمۡ تَعَالَوۡاْ قَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أَوِ ٱدۡفَعُواْۖ قَالُواْ لَوۡ نَعۡلَمُ قِتَالٗا لَّٱتَّبَعۡنَٰكُمۡۗ هُمۡ لِلۡكُفۡرِ يَوۡمَئِذٍ أَقۡرَبُ مِنۡهُمۡ لِلۡإِيمَٰنِۚ يَقُولُونَ بِأَفۡوَٰهِهِم مَّا لَيۡسَ فِي قُلُوبِهِمۡۚ وَٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِمَا يَكۡتُمُونَ ١٦٧
“Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (dalam Peperangan Uhud), padahal kamu telah menimpakan kekalahan dua kali lipat kepada musuh-musuhmu (dalam Peperangan Badar), kamu berkata, ‘Daripada mana datangnya (kekalahan) ini (Uhud)?’ Katakanlah, ‘Itu daripada (kesalahan) diri kamu sendiri.’ Sesungguhnya, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (165) Dan apa yang menimpa kamu pada hari bertemunya dua pasukan, maka (kekalahan) itu adalah dengan izin (takdir) Allah, dan agar Allah mengetahui siapa orang-orang yang beriman. (166) Dan supaya Allah mengetahui siapa orang-orang yang munafiq. Kepada mereka dikatakan, ‘Marilah berperang di jalan Allah atau pertahankanlah (dirimu).’ Mereka berkata, ‘Sekiranya kami mengetahui akan terjadi peperangan, tentulah kami mengikuti kamu.’ Mereka pada hari itu lebih dekat kepada kekafiran daripada keimanan. Mereka mengatakan dengan mulutnya apa yang tidak terkandung dalam hatinya. Dan Allah lebih mengetahui dalam hatinya. Dan Allah lebih mengetahui apa yang mereka sembunyikan. (167)” [Surah Ali ‘Imran: 165-167]
Di sebalik pencapaian PAS dengan sedikit kemenangan di negeri-negeri yang kuasanya terbatas, kita diuji dengan sedikit ghanimah jawatan, kedudukan, dan projek kecil yang menjadi rebutan. Semua ini boleh menguji kita, lalu menyebabkan kita menjadi tidak berdisiplin, sehingga memerlukan tindakan bagi menyelamatkan bahtera daripada ditebuk dari dalamnya.
Kesilapan pemimpin yang berkait dengan dasar parti dan keselamatannya boleh diadu dengan hujah yang benar dan saksi yang adil.
Begitu juga tindakan tidak berwala’ kepada jemaah sehingga melemahkan parti, mesti diambil tindakan disiplin dan tidak boleh dibiarkan. Walaupun tidak ada wahyu yang diturunkan untuk membetulkan jemaah, tetapi banyak peristiwa yang dinyatakan oleh al-Quran ialah petunjuk daripada mukjizat ilmu yang berkekalan.
Firman Allah SWT yang menjadi penutup setiap perjumpaan:
وَٱلۡعَصۡرِ ١ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ ٣
“Demi masa. (1) Sesungguhnya, manusia itu benar-benar dalam kerugian. (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran. (3)” [Surah al-‘Asr: 1-3]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 9 Rabi‘ al-Akhir 1447 / 1 Oktober 2025
[Bil: 68 / 2025]