Home Minda Presiden

PARA ANBIYA’ TIDAK KEBAL DI BAWAH SYARIAT (UNDANG-UNDANG)

13
SHARE
Minda Presiden PAS
[Bil: 35 / 2025]
PARA ANBIYA’ TIDAK KEBAL DI BAWAH SYARIAT (UNDANG-UNDANG)


Firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ أُوحِيَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَئِنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٦٥
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelum kamu, ‘Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan terhapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.’” [Surah al-Zumar: 65]

Mempersekutukan Allah dengan cara menerima hukum selain daripada hukum Allah, firman Allah SWT:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُا شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١

“Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya, tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]

Walaupun para anbiya’ AS wajib bersifat maksum (terpelihara daripada dosa) kerana menjadi contoh teladan kepada manusia, namun pada prinsipnya mereka berada di bawah syariat Allah dan bersifat tidak kebal. Hal ini bagi menegakkan konsep adil kepada seluruh manusia.

Tingkah laku mereka yang salah menjadi tanda kelemahan seorang makhluk pada dirinya dan juga menjadi sebab bagi menunjukkan beberapa hukum, mempamerkan akhlak yang terpuji dan juga menolak kemungkaran. Maka, Allah mengampunkan mereka dan menjadi rahmat pengajaran kepada umatnya, serta diberikan kelebihan taubat dan pengampunan daripada-Nya yang membuka pintu taubat. Hal ini berbeza dengan Iblis dan para pengikutnya yang sombong dengan dosa yang dilakukan dan tidak bertaubat.

Kesalahan Nabi Adam AS setelah ditipu Iblis mengandungi banyak hikmah, sebelum Baginda dihantar ke alam dunia supaya diberikan ilmu akibat kesilapannya dan menunjukkan adanya sempadan dalam kehidupan manusia. Sekali gus memperkenalkan makhluk yang menyesatkan manusia, supaya masing-masing berwaspada dan dibuka pintu taubat kepadanya. Nabi Adam AS terus bertaubat dan mendapat kelebihan bertaubat.

Nabi Nuh AS merasa berdosa kerana mendoakan agar dibinasakan kaumnya, walaupun Baginda telah berdakwah dengan sabar hampir 1,000 tahun.
Nabi Ibrahim AS berbohong bagi menyelamatkan diri daripada kezaliman dengan izin Allah, namun Baginda merasa malu kerana menganggap dirinya bersalah. Begitulah juga nabi-nabi yang lain.

Malah, Nabi Musa AS juga merasa bersalah kerana telah membunuh salah seorang daripada kaum Firaun, kemudiannya Baginda bertaubat.

Allah menceritakan ucapan Nabi Syu‘aib AS kepada kaumnya melalui firman-Nya:

قَالَ يَٰقَوۡمِ أَرَءَيۡتُمۡ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٖ مِّن رَّبِّي وَرَزَقَنِي مِنۡهُ رِزۡقًا حَسَنٗاۚ وَمَآ أُرِيدُ أَنۡ أُخَالِفَكُمۡ إِلَىٰ مَآ أَنۡهَىٰكُمۡ عَنۡهُۚ إِنۡ أُرِيدُ إِلَّا ٱلۡإِصۡلَٰحَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُۚ وَمَا تَوۡفِيقِيٓ إِلَّا بِٱللَّهِۚ عَلَيۡهِ تَوَكَّلۡتُ وَإِلَيۡهِ أُنِيبُ ٨٨

“Syu‘aib berkata, ‘Wahai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata daripada Tuhanku dan aku dianugerahkan daripada-Nya rezeki yang baik (lalu patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang kamu melakukannya. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya jua aku kembali.” [Surah Hud: 88]

Allah menegaskan kepada Bani Isra’il supaya menegakkan perkara yang baik termasuk terhadap diri mereka sendiri, sebagaimana firman-Nya:

۞أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ ٤٤

“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu sendiri melupakan dirimu (kewajipanmu) sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka, tidakkah kamu berfikir?” [Surah al-Baqarah: 44]

Allah melaknat Bani Isra’il yang tidak mencegah kemungkaran yang berlaku dalam kalangan mereka, sebagaimana yang dijelaskan melalui firman-Nya:

لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۢ بَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٧٨ كَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرٖ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ٧٩

“Telah dilaknat orang-orang kafir daripada kalangan Bani Isra’il dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampaui batas. (78) Mereka antara satu sama lain saling tidak melarang perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya, amat buruklah apa yang selalu mereka lakukan itu. (79)” [Surah al-Ma’idah: 77-78]

Antaranya, amalan rasuah yang besar dosanya. Firman Allah SWT:

سَمَّـٰعُونَ لِلۡكَذِبِ أَكَّـٰلُونَ لِلسُّحۡتِۚ فَإِن جَآءُوكَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُمۡ أَوۡ أَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡۖ وَإِن تُعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيۡـًٔا ۖ وَإِنۡ حَكَمۡتَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٤٢ وَكَيۡفَ يُحَكِّمُونَكَ وَعِندَهُمُ ٱلتَّوۡرَىٰةُ فِيهَا حُكۡمُ ٱللَّهِ ثُمَّ يَتَوَلَّوۡنَ مِنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَۚ وَمَآ أُوْلَـٰٓئِكَ بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٤٣

“Mereka itu kalangan yang sangat suka mendengar berita-berita bohong, dan sangat suka memakan segala perkara yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu, jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah daripada mereka; dan jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat ke atasmu sedikit pun; dan jika kamu menghukum sesuatu perkara, maka hukumlah (perkara itu) antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (42); Dan (sungguh menghairankan), bagaimanakah mereka mengangkatmu menjadi hakim mereka, padahal di sisi mereka ada Kitab Taurat yang mengandungi hukum Allah, kemudian mereka sesudah itu berpaling pula (daripada hukumanmu)? Dan (sebenarnya) mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman. (43)” [Surah al-Ma’idah: 42-43]

Mereka meminda hukum Allah, apabila ramai daripada kalangan para bangsawan yang melakukannya. Begitulah tugas para anbiya’ untuk mencegah kemungkaran dan diwajibkan juga melakukan pencegahan terhadap diri sendiri.

Nabi Muhammad SAW meletakkan dirinya berada di bawah hukum syariat Allah dalam banyak peristiwa yang berlaku pada zamannya. Imam Ahmad RH meriwayatkan:

“Bahawa Rasulullah SAW pernah membeli seekor kuda daripada seorang A‘rabi (Badwi) dan bersetuju membayarnya dengan harga yang telah dipersetujui. Tiba-tiba ada orang lain yang mahu membayar dengan harga yang lebih tinggi. Apabila Rasulullah SAW mahu menyerahkan bayarannya, tiba-tiba si Badwi itu mahu membatalkan penjualannya kepada Rasulullah SAW, namun dia tidak dipaksa menyerahkan kuda itu, lalu dibawa kepada pengadilan terlebih dahulu. Rasulullah SAW dapat menunjukkan saksi yang adil terlebih dahulu, kemudian akhirnya kuda itu diserahkan kepada Rasulullah SAW. [Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Jilid 1, Halaman 562 (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)]

Islam mengharamkan tindakan secara terpilih terhadap kesalahan yang dilakukan. Rasulullah SAW murka apabila Baginda dirayu agar tidak dibicarakan seorang bangsawan Arab Quraisy. Maka, Baginda bersabda:

‌إِنَّمَا ‌أَهْلَكَ ‌الَّذِينَ ‌قَبْلَكُمْ، ‌أَنَّهُمْ ‌كَانُوا ‌إِذَا ‌سَرَقَ ‌فِيهِمُ ‌الشَّرِيفُ ‌تَرَكُوهُ، ‌وَإِذَا ‌سَرَقَ ‌فِيهِمُ ‌الضَّعِيفُ ‌أَقَامُوا ‌عَلَيْهِ ‌الحَدَّ، ‌وَايْمُ ‌اللَّهِ ‌لَوْ ‌أَنَّ ‌فَاطِمَةَ ‌بِنْتَ ‌مُحَمَّدٍ ‌سَرَقَتْ ‌لَقَطَعْتُ ‌يَدَهَا.

“Sesungguhnya, binasa umat pada zaman dahulu sebelum kamu; apabila seorang bangsawan melakukan kesalahan, maka dia tidak dibawa ke pengadilan; sebaliknya apabila seorang yang lemah pula, maka dia diseret ke mahkamah untuk dijatuhkan hukuman. Demi Allah! Sekiranya, anakku Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan jatuhkan hukuman terhadapnya.” [Muttafaq ‘Alayh: al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, No. 3475 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Hudud, No. 1688, daripada ‘Aisyah]

Rasulullah SAW sendiri banyak bertaubat, walaupun Baginda tidak berdosa.

Keadaan ini menunjukkan bahawa tiada imuniti atau kekebalan di bawah syariat Allah. Konsep ini menjadi amalan semua khalifah dan raja Islam yang menjadi ketua negara, khususnya para Khulafa’ al-Rasyidin RA yang ditarbiah secara langsung oleh Rasulullah SAW.

Khalifah ‘Umar RA membawa ke mahkamah, kerana beliau telah membeli seekor kuda daripada seorang Badwi kemudian didapati kuda itu ada kecacatan setelah beliau menunggangnya beberapa hari.

Khalifah ‘Ali RA membawa ke mahkamah, apabila seorang Yahudi membawa perisainya yang hilang. Hakim Syuraih membuat keputusan untuk menyerahkan perisai itu kepada lelaki Yahudi itu kerana Khalifah tidak mempunyai saksi. Namun, lelaki Yahudi itu menyerahkan semula kepada Khalifah kerana sebenarnya perisai itu kepunyaan Khalifah yang telah tercicir.
Sultan Muhammad al-Fateh yang gagah perkasa juga pernah diseret ke mahkamah kerana telah melakukan satu kesalahan memukul seorang rakyat bukan Islam dan baginda dihukum qisas.
Islam menganggap para pemimpin dan raja yang meletakkan dirinya mengatasi undang-undang sebenarnya seolah-olah berlagak menjadi Tuhan. Firman Allah SWT:
ثُمَّ أَدۡبَرَ يَسۡعَىٰ ٢٢ فَحَشَرَ فَنَادَىٰ ٢٣ فَقَالَ أَنَا۠ رَبُّكُمُ ٱلۡأَعۡلَىٰ ٢٤ فَأَخَذَهُ ٱللَّهُ نَكَالَ ٱلۡأٓخِرَةِ وَٱلۡأُولَىٰٓ ٢٥ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَعِبۡرَةٗ لِّمَن يَخۡشَىٰٓ ٢٦
“Kemudian, dia berpaling seraya berusaha menentang (Musa). (22) Maka, dia mengumpulkan (para pembesarnya) lalu menyeru dengan memanggil kaumnya. (23) (Seraya) berkata, ‘Akulah tuhanmu yang paling tinggi’. (24) Maka, Allah mengazabnya dengan azab di akhirat dan juga azab di dunia. (25) Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang yang takut (kepada Tuhannya). (26)” [Surah al-Nazi‘at: 22-26]
Terdapat dalam kalangan negara demokrasi yang mengambil teladan daripada Islam bertindak terhadap mana-mana Presiden atau Perdana Menteri yang mempunyai salah laku dalam pilihan raya dan sewaktu mentadbir negara. Antaranya, apa yang pernah berlaku dalam skandal Watergate di Amerika Syarikat termasuk peletakan jawatan Perdana Menteri negara Britain dan Jepun kerana maruah kemanusiaan.
Islam juga bersikap tegas dalam undang-undang peperangan, apabila dilarang umatnya bertindak melampau terhadap musuh atau tawanan kerana perintah Allah SWT melalui firman-Nya:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah dan menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Antaranya, tindakan diambil terhadap bala tentera pimpinan Khalid bin al-Walid RA yang telah membunuh tawanan Bani Juzaimah dengan bayaran diat (pampasan). Perkara itu dilaksanakan pada zaman belum wujud mahkamah antarabangsa, namun Islam telah mendahuluinya.
Islam juga menegaskan proses kehakiman yang adil, antaranya dengan mengemukakan saksi dan bukti yang adil serta hakim yang adil. Sabda Rasulullah SAW terhadap para hakim:
‌القُضَاةُ ‌ثَلَاثَةٌ: ‌قَاضِيَانِ ‌فِي ‌النَّارِ، ‌وَقَاضٍ ‌فِي ‌الجَنَّةِ، ‌رَجُلٌ ‌قَضَى ‌بِغَيْرِ ‌الحَقِّ ‌فَعَلِمَ ‌ذَاكَ ‌فَذَاكَ ‌فِي ‌النَّارِ، ‌وَقَاضٍ ‌لَا ‌يَعْلَمُ ‌فَأَهْلَكَ ‌حُقُوقَ ‌النَّاسِ ‌فَهُوَ ‌فِي ‌النَّارِ، ‌وَقَاضٍ ‌قَضَى ‌بِالحَقِّ ‌فَذَلِكَ ‌فِي ‌الجَنَّةِ.
“Hakim itu ada tiga jenis; dua jenis yang ke neraka dan satu jenis yang ke syurga. Seorang hakim yang menjatuhkan hukum tidak mengikut cara yang betul (tidak beramal dengan ilmunya), maka dia ke neraka. Seorang hakim yang jahil menjatuhkan hukum sehingga mengabaikan hak orang lain, maka dia juga ke neraka. Seorang hakim yang berilmu menjatuhkan hukuman yang benar (dengan ilmu dan keadilannya), maka dia ke syurga.” [Riwayat al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-Ahkam, No. 1322, daripada Buraidah]
Firman Allah SWT:
… وَإِنَّهُمۡ لَيَقُولُونَ مُنكَرٗا مِّنَ ٱلۡقَوۡلِ وَزُورٗاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٞ ٢
“…Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan suatu perkataan mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.” [Surah al-Mujadilah: 2]
Disebutkan dalam sebuah hadis bahawa ‘Ubaidullah bin Abi Bakar berkata:
سَمِعْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: ذَكَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْكَبَائِرَ – أَوْ سُئِلَ عَنِ الْكَبَائِرِ. فَقَالَ: “الشِّرْكُ بِاللهِ، وَقَتْلُ النَّفْسِ، وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ”، وَقَالَ: “أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ؟” قَالَ: “قَوْلُ الزُّورِ، أَوْ قَالَ: شَهَادَةُ الزُّورِ، قَالَ شُعْبَةُ: ‌وَأَكْبَرُ ‌ظَنِّي ‌أَنَّهُ ‌شَهَادَةُ ‌الزُّورِ.
Aku mendengar Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah SAW menyebut berkenaan dosa-dosa besar atau ditanyakan berkenaan dosa-dosa besar. Maka Baginda bersabda, “Mempersekutukan Allah, membunuh diri dan menderhaka ibu bapa.” Lalu Baginda bersabda lagi, “Mahukah kalian aku khabarkan tentang sebesar-besar dosa besar? Baginda bersabda lagi, “Berdusta.” Atau Baginda bersabda, “Kesaksian palsu.” Syu‘bah berkata, “Dugaanku yang paling kuat adalah disebut kesaksian palsu.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, No. 5977 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 88, daripada ‘Ubaidullah]
Para anbiya adalah tauladan terbaik sepanjang zaman.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Zulhijjah 1446 / 5 Jun 2025