Home Berita PAS Perak

Pandemik Covid 19 : Hargai ‘frontliner’, kasihani rakyat

213
SHARE

Oleh : Aisy Sufi Ahmad

PARIT, Usaha berterusan dilaksanakan dalam menangani pandemik Covid-19 di seluruh negara melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sewajarnya disambut baik.

Tiada istilah kerajaan gagal kerana hari ini negara masih dalam proses pemulihan dengan bermacam inisiatif dijayakan pihak kerajaan khususnya pemerkasaan vaksinasi sehingga mencapai ‘herd immunity’.

Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr. Najihatussalehah Ahmad menyeru para pemimpin negara agar bekerjasama memberikan fokus kepada penyelesaian masalah pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menyampaikan sumbangan saguhati kepada para petugas di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Daerah Parit Tengah di sini semalam.

“Dewan Muslimat PAS Kawasan hadir ke PPV hari ini sebagai menghargai jasa dan pengorbanan besar “frontliner” yang sudah bertungkus lumus menjayakan PICK di pelbagai daerah seluruh negeri Perak.

“Kita yakin dan percaya, para petugas dan sukarelawan juga telah menepati prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi proses pemberian vaksin,” tambah Dr. Najiha.

Turut hadir dalam program di Seri Iskandar tersebut, Yang DiPertua PAS Kawasan Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib, pimpinan PAS Kawasan Parit dan pimpinan Dewan Muslimat PAS kawasan Parit.