Minda Presiden PAS
[Bil: 6 / 2025]
PALESTIN: GENCATAN SENJATA MELAKAR KEMENANGAN
Pukulan Taufan al-Aqsa telah menggoncang dunia, bukan hanya seluas wilayah Gaza yang dianggap kecil dan sempit keluasannya yang hanya sekadar beberapa kilometer persegi, malah jumlah penduduknya yang kecil hanya beberapa juta dipenjarakan dengan cara yang paling zalim dalam sejarah. Mereka dicengkam dengan kemiskinan, kelaparan, dan pembunuhan yang melampau keganasannya. Mangsa yang paling ramai pula ialah kanak-kanak, warga tua, dan kaum wanita, termasuk pesakit di hospital.
Serangan kilat para mujahidin Palestin yang berjenama Islam dimulakan oleh kumpulan Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas), disertai Tanzim Jihad serta dukungan Hizbullah dari Lubnan, Ansarullah dari Yaman, al-Muqawamah al-Islamiyyah dari Iraq, dan kumpulan yang lain, di samping turut dibantu oleh Republik Islam Iran secara terbuka. Mereka berjaya menembusi pertahanan Zionis yang dianggap kebal, berslogankan tentera yang tidak boleh dikalahkan. Tiba-tiba, barisan depannya ditembusi dan dimusnahkan oleh Operasi Taufan al-Aqsa.
Serangan 7 Oktober 2023 menggoncangkan dunia, khususnya kuasa besar Amerika Syarikat dan Eropah, disertai oleh negara di bawah pengaruh Zionis. Sehinggakan, mereka mengumpulkan bala tentera, termasuk armada yang membekalkan segala senjata dan bantuan, walaupun pangkalan tentera mereka sudah berselerak di kawasan Asia Barat dan lain-lain yang boleh digerakkan bila-bila masa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mahkamah antarabangsa, dan segala cabangnya dipaksa berpihak kepada Zionis dan sekutunya supaya membebaskan segala bentuk serangan dan senjata yang telah digunakan. Bukan sahaja resolusinya, bahkan kuasa veto turut membatalkan keputusan yang menghukum Israel.
Operasi Taufan al-Aqsa berjenama jihad yang mempertahankan al-Aqsa berjaya menarik sokongan umat Islam untuk bersatu, setelah berpecah kepada pelbagai mazhab dan bangsa, malah telah berpecah tanah air dan fikiran mereka yang dijajah sejak beberapa abad lamanya.
Operasi ini berjaya menunjukkan Islam yang adil dan berperikemanusiaan secara praktikal, sehingga mendapat sokongan masyarakat antarabangsa yang berperikemanusiaan. Perkara ini berlaku apabila mereka melihat serangan pihak Palestin hanya menyasarkan tentera Zionis sahaja, di samping layanan yang baik terhadap tawanan Yahudi, berpandukan firman Allah SWT:
وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]
Firman Allah ini disertai perintah Rasulullah SAW, para khalifah, dan ketua tentera Islam supaya jangan melampau, termasuk terhadap musuh di medan perang. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil! Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Jauh bezanya jika dibandingkan dengan serangan balas tentera Zionis dan pakatan Ahzab moden yang dibentuk mereka, bilamana mereka melakukan serangan sasaran yang dilarang oleh undang-undang antarabangsa dengan bertindak menyerang kawasan awam, hospital, sekolah, rumah ibadat, dan lain-lain, serta layanan zalim terhadap tawanan perang. Bahkan, sehingga mereka menggunakan senjata pemusnah yang turut dilarang oleh undang-undang yang diakui oleh masyarakat antarabangsa.
Zionis Israel disabitkan kesalahannya oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan pertubuhan antarabangsa yang dikemukakan oleh beberapa negara bukan Islam di Afrika, Amerika Latin, dan lain-lain, namun hukuman dan keputusannya tidak dipatuhi. Sehinggakan, kuasa besar yang berpihak kepada Zionis Israel tidak bermaruah apabila menggunakan kuasa veto bagi membatalkannya.
Mereka gagal menghapuskan Hamas yang diumumkan kononnya boleh dilaksanakan dalam masa beberapa hari, tetapi sebaliknya berpanjangan memakan masa bulan dan tahun. Ramai bala tentera Zionis dan sekutunya dibunuh dan ditawan. Adapun Palestin, Gaza, Lubnan, Yaman, Iraq, dan negara yang bersama mereka, ramai orang awam yang dibunuh dan dicederakan, khususnya kanak-kanak, warga tua, dan pesakit.
Akhirnya, setelah semua itu, Israel menerima gencatan sejata dalam keadaan terus dibekalkan senjata oleh negara sekutunya, kerana desakan di dalam negaranya supaya boleh membebaskan tawanan perang mereka dengan pertukaran, tidak sama menerima kematian dan penawanan tenteranya. Akhirnya, Israel bertindak menerima gencatan senjata laksana menyerah diri kerana gagal menghapuskan Hamas dan menguasai Gaza yang juga menghakiskan tentera dan semangatnya.
Adapun pihak Hamas dan sekutunya bertahan menerima gencatan senjata kerana prinsip Islam mendahulukan perdamaian, walaupun mencapai kejayaan menyerang dan bertahan, bukan menyerah kalah, berpandukan firman Allah SWT:
۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣
“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya, cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62) Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” [Surah al-Anfal: 61–63]
Perbandingan antara pihak Islam dengan Zionis berjaya menarik sokongan dan simpati ramai, termasuk orang bukan Islam terhadap Islam dan penganutnya yang dizalimi dan difitnah sejak beberapa lama. Keadaan ini menghilangkan sokongan kepada Zionis, sehingga berlaku bantahan terhadap kezaliman melampau itu di negara-negara bukan Islam seperti di Amerika Latin, Afrika, Asia, Eropah, dan di dalam negara musuh itu, malah ada yang memutuskan hubungan diplomatik dan membatalkan normalisasi dengan Israel.
Situasi yang berlaku juga mendedahkan kumpulan Zionis, bukan sahaja daripada kalangan kaum Yahudi yang fanatik terhadap Zionis, bahkan orang bukan Yahudi daripada Kristian dan lain-lain, termasuk kalangan munafiqin dan Muslim yang lemah iman mereka sehingga mengecewakan.
Terbentuknya bala tentera Ahzab moden menjadi mukjizat al-Quran yang berterusan yang kesannya bukan sekadar berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢ وَإِذۡ قَالَت طَّآئِفَةٞ مِّنۡهُمۡ يَـٰٓأَهۡلَ يَثۡرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمۡ فَٱرۡجِعُواْۚ وَيَسۡتَـٔۡذِنُ فَرِيقٞ مِّنۡهُمُ ٱلنَّبِيَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوۡرَةٞ وَمَا هِيَ بِعَوۡرَةٍۖ إِن يُرِيدُونَ إِلَّا فِرَارٗا ١٣ وَلَوۡ دُخِلَتۡ عَلَيۡهِم مِّنۡ أَقۡطَارِهَا ثُمَّ سُئِلُواْ ٱلۡفِتۡنَةَ لَأٓتَوۡهَا وَمَا تَلَبَّثُواْ بِهَآ إِلَّا يَسِيرٗا ١٤ وَلَقَدۡ كَانُواْ عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ مِن قَبۡلُ لَا يُوَلُّونَ ٱلۡأَدۡبَٰرَۚ وَكَانَ عَهۡدُ ٱللَّهِ مَسۡـُٔولٗا ١٥ قُل لَّن يَنفَعَكُمُ ٱلۡفِرَارُ إِن فَرَرۡتُم مِّنَ ٱلۡمَوۡتِ أَوِ ٱلۡقَتۡلِ وَإِذٗا لَّا تُمَتَّعُونَ إِلَّا قَلِيلٗا ١٦ قُلۡ مَن ذَا ٱلَّذِي يَعۡصِمُكُم مِّنَ ٱللَّهِ إِنۡ أَرَادَ بِكُمۡ سُوٓءًا أَوۡ أَرَادَ بِكُمۡ رَحۡمَةٗۚ وَلَا يَجِدُونَ لَهُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَلِيّٗا وَلَا نَصِيرٗا ١٧ ۞قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلۡمُعَوِّقِينَ مِنكُمۡ وَٱلۡقَآئِلِينَ لِإِخۡوَٰنِهِمۡ هَلُمَّ إِلَيۡنَاۖ وَلَا يَأۡتُونَ ٱلۡبَأۡسَ إِلَّا قَلِيلًا ١٨
“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya! Dan Allah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik menyesak sampai di tenggorokan, dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hati mereka) dengan goncangan yang sangat. (11) Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12) Dan (ingatlah) ketika segolongan antara mereka berkata, ‘Wahai penduduk Yathrib (Madinah), tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu!’ Dan sebahagian mereka meminta izin kepada Nabi (untuk kembali pulang) dengan berkata, ‘Sesungguhnya, rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga).’ Dan rumah-rumah itu sekali-kali tidak terbuka, mereka tidak lain hanya hendak lari. (13) Kalau (Yathrib) diserang dari segala penjuru, kemudian diminta kepada mereka supaya murtad, nescaya mereka mengerjakannya; dan mereka tiada akan bertangguh untuk murtad itu melainkan dalam waktu yang singkat. (14) Dan sesungguhnya, mereka sebelum itu telah berjanji kepada Allah SWT, ‘Mereka tidak akan berbalik ke belakang (mundur).’ Dan perjanjian dengan Allah akan diminta pertanggungjawabannya. (15) Katakanlah, ‘Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri daripada kematian atau pembunuhan, dan jika (kamu terhindar daripada kematian), kamu tidak juga akan mengecap kesenangan kecuali sebentar saja.’ (16) Katakanlah, ‘Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada (takdir) Allah jika Dia menghendaki bencana ke atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?’ Dan orang-orang munafiq itu tidak memperoleh bagi mereka pelindung dan penolong selain Allah. (17) Sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang menghalang-halangi antara kamu dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya, ‘Marilah kepada kami.’ Dan mereka tidak mendatangi peperangan melainkan sebentar. (18)” [Surah al-Ahzab: 9–18]
Akhirnya, bala tentera Ahzab berundur bukan dengan serangan, tetapi dengan perpecahan serta keruntuhan perpaduan dan semangat mereka.
Adapun pihak Islam mencapai kemenangan iman dan rohnya. Allah menapis umat Islam dengan proses ujian serangan dan kezaliman musuhnya. Firman Allah SWT:
الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣
“Alif lam mim. (1) Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji lagi? (2) Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka, sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya, Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3)” [Surah al-‘Ankabut: 1–3]
Hal ini sekali gus membuktikan firman Allah berkenaan kaum Zionis yang paling kejam itu sebenarnya adalah tidak kuat. Firman Allah SWT:
لَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرٗى مُّحَصَّنَةٍ أَوۡ مِن وَرَآءِ جُدُرِۢۚ بَأۡسُهُم بَيۡنَهُمۡ شَدِيدٞۚ تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيعٗا وَقُلُوبُهُمۡ شَتَّىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡقِلُونَ ١٤
“Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali di dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di balik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu mengira mereka itu bersatu, sedangkan hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya, mereka ialah orang-orang yang tidak mengerti.” [Surah al-Hashr: 14]
Mereka hanya berani berperang dengan bantuan senjata kebal, jarak jauh, dan senjata canggih yang dibantu oleh negara Zionis dari seluruh pelosok dunia, bersama kedatangan bala tentera mereka yang dikumpulkan bagi mengepung Gaza yang kecil, sambil berlindungkan kubu bawah tanah yang dibina. Padahal, mereka berperang dalam keadaan perpecahan dalaman yang parah.
Operasi Taufan al-Aqsa membenarkan janji Allah bahawa cahaya Islam daripada Allah mustahil dapat dipadamkan. Firman Allah SWT:
يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membenci. (Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya di atas segala agama, meskipun orang-orang Musyrik membenci. (9)” [Surah al-Saff: 8–9]
Maka, gencatan senjata yang berlaku melakarkan kemenangan kepada kumpulan Islam yang akan mengubah wajah dunia yang berpihak kepada Islam.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 20 Rajab 1446 / 20 Januari 2025