Home Berita PAS Terengganu

Pakatan Derhaka Mengoyak Topeng Raja Berperlembagaan

29
SHARE

Peristiwa kehakiman terkini yang memangsakan mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak, berdasarkan kandungan surat Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah menitahkan supaya Dato’ Seri Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (house arrest) melalui Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Hal ini telah mendedahkan wajah sebenar kerajaan PH yang didominasi oleh DAP yang menegakkan prinsip sekularisme yang dipahat dalam perlembagaan partinya dan kenyataan para pemimpinnya. Apa yang berlaku adalah meneruskan pendekatan pada zaman penjajah dahulu.

Raja-raja dipenjarakan dalam sistem penjajah, dalam keadaan tidak berdaulat sepenuhnya (tidak berkuasa sepenuhnya) dalam urusan pemerintahan negara, apabila agama Islam dilucutkan kuasanya. Raja hanya digunakan menjadi topeng apabila rakyat menentang penjajah. Maka, raja-raja difitnah oleh penjajah lalu menuduh rakyat pula derhaka terhadap raja-raja.

Islam meletakkan konsep Raja Berperlembagaan yang sebenar dengan memberi kuasa mentadbir negara dengan petunjuk agama yang sebenarnya berdaulat.

Khalifah ‘Uthman RA menegaskan:

‌إِنَّ ‌اللَّهَ ‌يَزَعُ ‌بِالسُّلْطَانِ ‌مَا ‌لَا ‌يَزَعُ ‌بِالْقُرْآنِ.

“Sesungguhnya, Allah memberikan kuasa kepada sultan (yang berkuasa memerintah) untuk bertindak dalam apa-apa perkara yang tidak dinyatakan oleh al-Quran (yang membawa maslahat kepada negara).” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 2, Hlm. 12]

Perkara ini berpandukan kaedah:

‌تَصَرُّفُ ‌الْإِمَامِ ‌مَنُوطٌ ‌بِالْمَصْلَحَةِ.

“Tindakan pemerintah mestilah bertujuan membawa kemaslahatan (kebaikan) kepada rakyat.”

Imam al-Ghazali RH menulis dalam kitab karangannya:

‌الدِّينُ ‌أُسٌّ، ‌وَالسُّلْطَانُ ‌حَارِسٌ، وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama itu menjadi asas, sedangkan kuasa sultan (yang memerintah) itu menjadi pengawalnya. Apa yang tiada asasnya, maka akan runtuh binasa; dan apa yang tiada pengawalnya, maka akan hilang.” [Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, Hlm. 128]

Kita menyaksikan betapa hukum Islam dihilangkan sedikit demi sedikit, dan kuasa umat Islam pula dirobohkan.

Kita menyaksikan kerajaan PH mula berkuasa dengan slogan perintah raja-raja untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Selepas itu ditopengkan raja-raja menjadi alasan kepada setiap teguran dan kritikan pihak pembangkang yang dikatakan kononnya menentang raja-raja.

Mereka juga mengambil tindakan secara terpilih terhadap musuh-musuh politik atau dendam kesumat. Adapun kesalahan sendiri yang lebih besar daripada 1MDB berlipat kali ganda oleh beberapa tokohnya pula ditutup dan disembunyikan di bawah karpet atau hanya bertindak separuh jalan sahaja.

Kesalahan yang terbuka kini ialah tindakan membakul sampahkan surat hak pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), sehingga mendedahkan wajah derhakanya. Inilah gambaran wajah yang sebenar kerajaan PH yang berkonsep sekularisme yang berprinsipkan kebendaan semata-mata, selaras dengan keahliannya yang terbuka kepada semua, campuran kalangan yang baik dan buruk, betul dan sesat, beragama dan tidak beragama, termasuk yang tidak berakhlak yang boleh dikhadamkan semuanya demi kepentingan kebendaan yang menjadi kiblatnya.

DAP yang menjadikan sekularisme sebagai dasarnya boleh menerima keahlian daripada semua jenis manusia, termasuk daripada kalangan paling ekstrem yang tidak beragama dan tidak bertuhan. Malah, haluan kiri yang paling ekstrem seperti komunis, sehinggalah yang bebas liberal tidak ada batas halal dan haram serta tidak membezakan antara hak asasi manusia dengan hak asasi binatang yang paling ganas.

Bahkan, boleh bergabung dengan semua kumpulan daripada kalangan yang tidak beragama dan beragama tetapi hanyut. Termasuklah orang-orang Melayu dan para agamawan yang boleh dibeli, sebagaimana yang disebutkan oleh Allah dalam al-Quran melalui firman-Nya:

وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا ۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dijulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176)” [Surah al-A‘raf: 175-176]

Ayat ini menceritakan ulama’ yang menjadi khadam kepada syaitan yang zalim dan sesat.

Perkara ini mempraktikkan teori politik Barat yang sangat sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam:

“The end justifies the means.”

“Matlamat menghalalkan cara.”

Termasuklah janji bohong dan menipu dalam masa Pilihan Raya Umum (PRU) dan selepas menjadi kerajaan. Semuanya ditipu oleh mereka, tidak kira rakyat mahupun raja. Khususnya terhadap orang-orang Melayu yang mudah lupa. Inilah pelaksanaan teori sekularisme yang memisahkan urusan cara hidup daripada agama sebagaimana yang ditegaskan dalam perlembagaan partinya dan kenyataan terbuka para pemimpinnya.

Kebencian mereka terhadap Islam dan para pemimpin termasuk raja-raja terkeluar dengan beberapa tindakan dan kenyataan yang mengoyak topeng kepura-puraannya.

Allah SWT memberikan peringatan dengan firman-Nya:

هَـٰٓأَنتُمۡ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيۡـًٔا ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ ١٢٠

“Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata, ‘Kami beriman,’ dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka), ‘Matilah kamu kerana kemarahanmu itu.’ Sesungguhnya, Allah mengetahui segala isi hati. (119) Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya, Allah mengetahui segala yang mereka kerjakan. (120)” [Surah Ali ‘Imran: 119–120]

Kadang-kadang terkoyak topengnya, apabila mereka menunjukkan kemarahan melihat perpaduan dalam kalangan umat Islam dan penyertaan positif bukan Islam yang tidak ekstrem terhadap Islam. Sebaliknya, mereka bergembira jika ada yang murtad dan membelanya habis-habisan tanpa mengenangkan konsep tasamuh dan toleransi yang ditunjukkan oleh umat Islam terhadap mereka.

Allah tidak melarang penganut Islam berlaku baik terhadap kalangan bukan Islam, bahkan diwajibkan mereka berlaku adil terhadap semua. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]

Konsep kehakiman Islam menggalakkan agar diberikan pengampunan dan penyelesaian yang meringankan terhadap golongan yang bersalah, apatah lagi golongan yang tidak bersalah dan belum dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah. Maka, Islam menggalakkan sistem guaman yang dinamakan wakalah bagi membantu kalangan yang salah apalagi kalangan yang tidak bersalah. Mencari hukuman yang lebih ringan dan peluang keampunan, kerana konsep hukuman Islam bertujuan mendidik masyarakat.

Firman Allah SWT:

إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا ١٠٥

“Sesungguhnya, Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat.” [Surah al-Nisa’: 105]

Islam juga terbuka kepada semua manusia, sama ada yang baik mahupun jahat dengan melakukan islah dan ihsan tanpa paksaan dengan ujian hidup secara pilihan. Firman Allah SWT:

لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦ ٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّـٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَٰتِۗ أُوْلَـٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢٥٧

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu sesiapa yang ingkar kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (256) Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kekufuran) kepada cahaya (keimanan). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekufuran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. (257)” [Surah al-Baqarah: 256-257]

Pakatan yang menjunjung kasih atau menderhaka titah, tepuk dada tanya iman.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 7 Rajab 1446 / 7 Januari 2025

[Bil: 3 / 2025]