Home Berita PAS Terengganu

Pakar Perubatan sokong hasrat Terengganu haramkan vape

18
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah menyambut baik dan menyokong penuh hasrat Kerajaan Terengganu untuk mengharamkan vape secara total.

Katanya, langkah itu sangat tepat dan wajar demi membebaskan generasi hari ini daripada terus terlibat dalam ketagihan vape yang semakin membimbangkan.

Menurut beliau, pengharaman vape itu bukan sahaja menyebabkan penjualan, pengiklanan dan sebarang berkaitan vape di seluruh negeri akan terhenti tetapi akan memastikan undang-undang ketat dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Ini adalah langkah yang sangat penting untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Terengganu, terutamanya golongan muda yang mudah terpengaruh dengan penggunakan vape.

“Dalam masa yang sama, kami juga menggesa supaya premis-premis yang melibatkan penjualan rokok diperketatkan lagi oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

“Langkah ini adalah penting untuk memastikan bahawa penjualan rokok, termasuk rokok elektronik dikawal dengan lebih ketat bagi melindungi generasi muda daripada terus rosak akibat vape dan rokok,”ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, pihak beliau yakin dan percaya bahawa usaha tersebut akan dapat membina masyarakat yang lebih sihat dan bebas daripada ketagihan vape dan rokok.

“Marilah kita semua menyokong usaha kerajaan Negeri Terengganu dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” ujarnya.