Home Berita PAS Terengganu

Pakar Nefrologi Tokoh Maal Hijrah Terengganu

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Jabatan IDMD Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Ghazali Ahmad diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1447H sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau yang memiliki pengalaman hampir empat dekad dalam bidang perubatan, khususnya dalam Nefrologi dan Transplantasi, merupakan antara tokoh penting dalam landskap kesihatan Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

Dr. Ghazali juga merupakan antara pakar yang terlibat dalam merawat Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menerima rawatan di IJN baru-baru ini, selain pernah memberikan khidmat perubatan kepada tokoh-tokoh besar negara seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta beberapa menteri kanan yang lain.

“Pada tahap apa sekalipun, apabila seseorang datang mendapatkan rawatan, dan kita pula memiliki kepakaran serta kemahiran, maka itu adalah ruang untuk kita menyumbang kepada negara.

“Ramai pemimpin negara dari pelbagai peringkat telah saya rawat. Ia satu pengalaman sangat berharga kerana dalam masa yang sama saya memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia yang ingin berbakti kepada tanah air,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, adalah sangat penting bagi negara untuk memiliki kepakaran dalam bidang kritikal seperti perubatan, bagi mengelak kebergantungan kepada negara luar yang mungkin mempunyai kepentingan tersendiri.

“Bayangkan jika pemimpin atau Raja-raja kita mengalami masalah kesihatan dan kita terpaksa bergantung kepada negara luar untuk rawatan. Dalam situasi tertentu, kuasa asing boleh menekan kita dan menyebabkan kita tunduk demi mendapatkan rawatan yang sepatutnya kita sendiri mampu sediakan jika memiliki kepakaran,” katanya.

Mengenai anugerah yang diterima, beliau merasakan bahawa penghargaan itu sangat berharga dan sangat menghargainya.

“Sebenarnya berat nak terima anugerah ini sebab saya rasa sumbangan saya tidaklah seberapa dan saya rasa lebih ramai warga negeri Terengganu yang telah berbakti dengan lebih cemerlang bukan sahaja di peringkat negeri tetapi di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Bagaimanapun, saya bersyukur insya-Allah dengan anugera ini akan meningkatkan lagi azam dan usaha saya untuk memperkasa ummah di saat kita tahu umat Islam diganyang di peringkat antarabangsa jadi kita mesti sama-sama memperkuatkan di antara satu sama lain dengan mengabungkan pelbagai kepakaran,” ujarnya yang merupakan anak jati Kijal.

Sepanjang empat dekad terlibat dalam dunia perubatan beliau telah menyandang beberapa jawatan antaranya menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Persatauan Trasplantasi Asia (2017-2025), Ahli Lembaga Penasihat, Doctor Against Forced Organ Harvesting (DAFOM) (2011-2025)

Selain itu belia juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Korean Vitalink International (2024-2025), Penasihat Nefrologi, Yayasan Buah Pinggang Papua New Guinea (2021-2025), Ahli Jawatankuasa Penasihat Perubatan, Lembaga Zakat Selangor.

Antara anugerah tertinggi yang  diperolehi ialah Anugerah Chugh-kirpal- Persatuan Nefrologi Asia Pasifik (2021), Anugerah Tan Sri Abu Bakar-Persatuan Nefrologi Malaysia (2019).