Home Berita PAS Terengganu

Pakai jaket keselamatan sepanjang masa bila berkunjung ke Tasik Kenyir

86
SHARE

DUNGUN – Orang ramai dinasihatkan mengutamakan pemakaian jaket keselamatan sepanjang masa ketika berada di Tasik Kenyir bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Dato’ Razali Idris berkata, pihaknya akan berbincang  dengan pengusaha rumah bot, rumah rakit dan bot laju supaya langkah-langkah keselamatan dapat ditingkatkan termasuk mewajibkan pemakaian jaket berkenaan dapat diambil

Katanya, tindakan tegas terhadap mereka yang masih ingkar mengenai keselamatan akan turut diambil bagi mengelakkan sebarang kemalangan berlaku.

“Pihak kita juga sedang mengkaji untuk memberikan insuran perlindungan nyawa secara berkelompok ataupun bagi setiap tiket.

“Ini termasuk memastikan barang-barang keselamatan lengkap disediakan pengusaha akan menjadi syarat utama, agar keselamatan pengunjung menjadi keutamaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pada Majlis Pra Pembukaan Muzium Bukit Besi, di sini pada hari ini.

Tambahnya, dengan semua pihak mengambil sikap berhati-hati  kejadian yang melibatkan dua nyawa sebagaimana rumah rakit dahulu dan terkini melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun ditemui lemas terjatuh dari rumah bot tidak akan berlaku lagi serta akan menjadi pengajaran kepada semua.

Dalam pada itu katanya, pihaknya turut bersetuju mengagihkan 3,000 pasang jaket keselamatan bernilai RM250,000 kepada pengusaha pelancongan di tasik buatan manusia berkenaan.

“Disamping itu, kita akan mewujudkan pasukan penyelamat khas bagi melakukan pemantauan di setiap lokasi berisiko yang menjadi tumpuan pengunjung” ujarnya.