Home Artikel PAS Perak

Pak Subky: Mutiara yang tiada ganti

543
SHARE

Pak Subky: Mutiara yang tiada ganti.

Pak Subky atau nama sebenarnya Ahmad Subki Abdul Latif sangat dikenali dengan ketajaman setiap susunan penulisannya yang acap kali menyentuh jiwa selama ini. Dewan Muslimat PAS Negeri Perak menzahirkan rasa hiba dan takziah atas pemergian beliau kerahmatullah pada jam 11.05 pagi tadi. Salam takziah buat balu beliau yang pernah menjadi AJK Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Puan Hjh Naznah Taha.

Almarhum Subky Latif yang dilahirkan pada tanggal 28 Julai 1940 merupakan anak kelahiran Sungai Parit Panjang Laut, Setiawan, Perak. Dikenali sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, Almarhum pernah menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat bermula tahun 1983 hingga 2006.

Bukan itu sahaja, malah sejak tahun 60-an beliau juga turut menyumbang bakti bergelumang dalam dunia surat khabar dan kewartawanan antaranya menjadi pengasas akhbar Suara Rakyat, Suara Merdeka, Watan dan Harakah.

Dalam arena politik tanah air, Almarhum pernah menjadi calon PAS dalam pilihanraya di Perak antaranya bertanding di Parlimen Parit Buntar pada tahun 1986 dan Parlimen Parit pada tahun 1995. Almarhum juga merupakan pengasas dan Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS yang merupakan platform bagi mengumpulkan veteran parti. Biarpun dimamah usia, namun Almarhum terus istiqamah bersama perjuangan PAS hingga penghujung usia beliau.

Keberadaannya dalam PAS sejak awal penubuhannya lagi membuktikan bahawa perit jerih perjuangan dilaluinya dengan penuh istiqamah. Sosok yang layak bergelar ensiklopedia bergerak ini telahpun menabur segala bakti beliau untuk gerakan Islam hingga ke akhir nyawanya.

Dewan Muslimat PAS Negeri Perak menyeru kepada seluruh amilin PAS agar dapat meneruskan usaha Almarhum dalam bidang penulisan ini khususnya. Sesungguhnya setiap penulisan yang baik itu boleh menjadi saham akhirat dan bekalan pahala berterusan buat kita semua kelak.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. (An Nahl : 125)

DaripadaNYA kita datang, dan kepadaNYA jualah kita akan dikembalikan. Semoga roh Almarhum ditempatkan dikalangan para syuhada’ dan orang-orang yang beriman. Damailah dikau di alam sana. Al Faatihah.

Dr Najihatussalehah binti Ahmad
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak.
23 Jun 2020 | 2 Zulkaedah 1441H