Home Berita PAS Pahang

Pahang tuan rumah Muktamar Tahunan PAS Pusat

1141
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 26 Mei – PAS Pahang telah diamanahkan menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS tahun ini buat kali kedua, setelah menjadi tuan rumah buat pertama kalinya pada tahun 2019 di Kuantan.

“Kita menerima amanah ini dengan berbesar hati dan merakamkan terima kasih kepada PAS Pusat di atas keyakinan mereka kepada kita untuk penganjuran muktamar kali ini yang akan diadakan di Kompleks Al-Makmur Kerdau pada September ini,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu.

Beliau berkata demikian setelah selesai menghadiri Mesyuarat Induk kali pertama bagi membuat persiapan muktamar tersebut di Pusat Tarbiyah PAS (PUTRA) Balok di sini semalam.

Beliau berkata, PAS Pusat yakin Pahang berpotensi menganjurkan muktamar dengan jayanya kerana mempunyai tenaga dan pengurusan yang baik.

“Ini memberi tanda bahawa kami juga patut menunjukkan kebolehan, keupayaan kami untuk mengurus dan mentadbir negeri Pahang selepas PRU ke-16 nanti, harapan kami dengan penganjuran kali ini dapat memberikan suntikan semangat kepada ahli dan jentera kita untuk bergerak dengan lebih baik dan tersusun meyakinkan rakyat.

“Kita harap rakyat dapat melihat dan menilai kebolehan, keupayaan PAS bersama Perikatan Nasional dalam mengurus tadbir negeri setelah mengurus acara majlis yang besar ini,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, beberapa mesyuarat, pertemuan, dan perbincangan dalam tempoh tiga bulan ini akan diadakan untuk memastikan muktamar dapat berjalan dengan baik.

Mesyuarat Induk ini telah dihadiri oleh Setiausaha Agung PAS Pusat Takiyuddin Hassan bersama wakilnya dan Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang.