Oleh : HABSAH ALI
KUANTAN, 24 Apr – Ahli Dewan Negeri Beserah YB. Dato’ Andansura Rabu menyeru kerajaan negeri Pahang agar mengambil peluang daripada ketidaktentuan ekonomi global berikutan perang dagangan antara kuasa-kuasa besar dunia.
Dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, beliau turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri atas kejayaan menarik pelaburan berjumlah RM7.5 bilion pada tahun 2024.
“Ini hasil usaha keras kerajaan dan agensi-agensi terlibat serta penjawat awam yang berjaya meyakinkan pelabur ke negeri ini,” katanya.
Namun beliau mengingatkan bahawa konflik perdagangan global memberi kesan langsung kepada negeri Pahang, khususnya sektor perindustrian di Gebeng yang banyak berurusan dengan Amerika Syarikat.
“Kenaikan tarif oleh Amerika terhadap banyak negara memberi impak besar kepada ekonomi dunia. Selagi dasar perdagangan mereka tidak berubah, kita akan terus berdepan suasana ekonomi yang tegang,” katanya.
Beliau mencadangkan agar kerajaan negeri:
- Meneroka pasaran baharu di Afrika, Asia Barat dan Amerika Selatan,
- Meningkatkan kecekapan infrastruktur dan logistik seperti Pelabuhan Kuantan,
- Memperkasa produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk eksport,
- Mengoptimakan peluang melalui projek ECRL dengan penubuhan Akademi Rel Pahang.
Beliau menegaskan bahawa langkah-langkah ini penting bagi memastikan Pahang kekal berdaya saing di tengah cabaran global yang tidak menentu.