Home Berita PAS Selangor

Orang Politik Paling Tidak Dipercayai – Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor | Ustaz Shafie Bin Ngah

1252
SHARE

Oleh : Ustaz Shafie Bin Ngah

Kenapa ramai mencemuh orang politik?

Khabarnya dalam satu dapatan kajian BEIM (Business Ethics Institute of Malaysia) yang diambil maklum balas daripada 2,074 orang golongan politikus adalah golongan atau profesyen yang paling tidak dipercayai dalam 15 profesyen di negara ini. Manakala profesyen yang paling dipercayai ialah pertama doktor dan kedua guru.

Mengapa orang politik adalah kumpulan yang paling tidak dipercayai? Sebab orang politik ‘did not tell the truth’ kata kajian itu. Dalam kata lain ‘orang politik kuat menipu’.

Tak pasti tahun bila kajian BEIM ini dibuat cuma ia di-realese pada tahun 2013. Sama ada mahu percaya atau tidak terpulang kepada anda. Cuma saya mahu mengajak anda semua untuk melihat ‘orang politik’ dari perspektif agama dari perspektif Islam.

Apa pandangan Islam terhadap politik dan orang politik?

  1. Politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Islam adalah ad-deen – agama yang syumul (komprehensif). Di dalam Islam ada akidah (kepercayaan) dan ibadah (penyembahan), ada dakwah (seruan) dan pendidikan ada urusan harta dan usaha mencari kekayaan ada perihal akhlak dan undang-undang ada amalan jiwa dan ketenteraan ada hal ehwal ilmu dan kebudayaan dan ada urusan politik dan pemerintahan. Allah menyebut (al-An’am : 38);

ما فرطنا في الكتاب من شيء

“….tidak Aku tinggalkan barang satu urusanpun di dalam al-Quran…”

  1. Politik adalah sebahagian kehidupan Nabi Muhammad SAW. Muhammad adalah Nabi Allah. Baginda juga adalah Rasul Allah. Bahkan baginda adalah ikutan (qudwah) nombor satu umat Islam. Baginda adalah pemimpin negara, pengatur strategi perang, mengetuai angkatan bersenjata menentang musuh, mengetuai rundingan perdamaian dan mengatur pelan perancangan sebuah pemerintahan. Apabila kehidupan Nabi Muhammad SAW adalah ikutan maka semuanya adalah sunnah. Sunnah baginda adalah rujukan dan ikutan ummat Islam.
  2. Al-Quran mencerita dan membuktikan bahawa politik adalah urusan ramai Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul sebelum Muhammad SAW. Mereka pemimpin negara, mentadbir urusan pemerintahan, mengatur urusan kebajikan rakyat dan lain-lain lagi. Nabi Allah Sulaiman sebagai contoh mentadbir satu dunia. Bukan setakat dunia malah segala isi dunia – termasuk jin, angin, unggas, semut, batu batan dan segala-galanya. Justeru, fahamilah kita bahawa politik bukan profesyen buangan.
  3. Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul sebelum baginda adalah orang politik memimpin negara dan mentadbir urusan pemerintahan. Imam al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a.), sabda Nabi SAW; “Dulu kaum Bani Israel, pemimpin-pemimpin politik mereka adalah dari kalangan para Nabi. Apabila seorang Nabi tumbang, datang pula Nabi yang lain……”

كانت بنو اسراءيل تسوسهم الانبياء كلما هلك نبي خلفه نبي

  1. Seterusnya Rasulullah SAW mengiktiraf mana-mana pemimpin yang adil, sebagai orang pertama yang akan selamat di Hari Mahsyar. Imam al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a.), sabda Nabi SAW; “Tujuh golongan orang yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan-Nya (Hari Mahsyar) adalah; pemerintah yang adil, pemuda yang hidup dalam pengabdian diri kepada Allah, (dan seterusnya)……”

سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل الا ظله امام عادل وشاب نشأ في عبادك الله……

Habis kenapa dapatan survey mengatakan bahawa orang politik adalah kumpulan profesyen yang paling tidak dipercayai? Mungkin sebabnya ialah ramai orang merasa tertipu dengan orang politik atau lebih tepat tertipu dengan pemimpin-pemimpin politik.

Saya percaya anda bersetuju dengan saya bahawa pokok pangkalnya adalah karenah orang poltik dan bukannya profesyen politik itu sendiri. Sebab rasa tertipu atau terinaya ini bukan sahaja daripada orang politik. Bahkan dalam semua profesyen ada karenah serupa. Jangan fikir dalam profesyen kedoktoran (perubatan) tidak ada penipuan. Jangan fikir dalam profesyen kecikguan (pendidikan) tidak ada penipuan. Jangan fikir dalam profesyen korporat (perniagaan) tidak ada penipuan. Bolah dikatakan dalam bidang apapun ada penipuan dan pendajalan. Dan jangan terkejut dalam universiti – kalangan cerdik pandai malah di kalangan profesor pun ada penipuan dan pendajalan.

Jadi tidak mungkin kita akan mencemuh semua profesyen dalam dunia ini dek kerana adanya penipuan dan pendajalan dalam profesyen tersebut kan?

Lebih-lebih lagi profesyen politik. Gunakan kecerdikan kita dan jangan terpedaya dengan dapatan survey semata-mata.

Namun, jika ketidak percayaan itu tertumpu kepada orang politik atau pemimpin yang suka memperdaya silakan. Jika mahu nyahkan orang politik yang meraih sokongan dengan cara penipuan silakan. Malah agama juga menggalakkan demikian.

Orang politik sama seperti lain-lain kumpulan profesyen ada yang baik dan ada yang jahat. Jika anda bersikap tidak sukakan orang politikpun mereka tetap ada sama seperti profesyen lain. Malah, jika ada memilih untuk ‘tidak campur politik’pun kaitannya dengan anda tetap ada sama seperti terkaitnya profesyen lain dengan anda. Justeru itu, option yang ada hanya satu – pilihlah yang baik tolaklah yang jahat.

Islam anjurkan pilihlah pemimpin yang punyai al-quwwah dan al-amanah (القوة والامانة).

Teman-teman kembalilah kepada panduan Islam. Kembalilah kepada politik acuan Islam insya Allah selamat. Selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Jangan cemuh politik atau orang politik secara semberono.

Ustaz Shafie Bin Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor