PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
ORANG BERJUANG MESTI CAPAI MAKRIFAT
Sewaktu Nabi SAW bertemu dengan satu-persatu kabilah yang datang ke Mekah untuk menyeru kepada Islam, pemimpin-pemimpin kabilah Bani Syaiban memuji Rasulullah SAW. Mereka mengakui kebenaran agama Islam. Mereka juga menyatakan kesediaan untuk bersama baginda dalam menghadapi tentangan orang-orang arab. Walaubagaimanapun, mereka tidak berani untuk berhadapan dengan kuasa besar dunia, Parsi dan Rom pada masa itu.
Ini adalah sikap yang lemah, yang tidak boleh bersama Nabi SAW. Baginda bersabda:
“Orang yang sanggup bersama aku, mestilah sanggup menghadapi cabaran dari seluruh pelusuk dunia! Tidak takut melainkan kepada Allah SWT.”
Seluruh pemerintahan yang ada di dunia ini, walau sebesar dan sekuat mana sekalipun tidak boleh berbuat apa-apa untuk menghalang pertolongan Allah. Mereka yang tidak menyedari hakikat ini adalah tidak mengenal Allah dalam erti kata yang sebenar.Orang yang hatinya kecil dan kecut tidak layak untuk bersama perjuangan Islam. Mereka tidak layak menjadi penolong bagi menegakkan agama Allah.
Disinilah hikmat kita disuruh membacakan wirid selepas setiap kali sembahyang:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Katakanlah: “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[Aal-E-Imran:26]
Sunat dibacakan setiap kali selepas solat. Namun ramai di kalangan kita yang tidak mencapai makrifatullah, yakni mengenal Allah dalam erti kata yang sebenarnya. Sebut sahaja makrifat-makrifat buat sedap bercakap, tapi tak tahu apa. Jadi macam burung kakak tua, pandai sebut sahaja. Orang yang mengaji tasauf mengaji macam-macam ini suka sangat sebut makrifat-makrifat. Bila tanya apa makrifat, tak tahu!
Tak tahu ini terbukti apabila mereka berhati kecil ketika berhadapan dengan kuasa-kuasa manusia di dunia. Tidak tunduk kepada kuasa Allah, dan tidak berani menegakkan agama Islam.
Baru orang hulur duit, hulur benda umpan sikit, terus terkam. Baru orang ugut sikit, terus berundur dari perjuangan. Ini menandakan tidak mencapai makrifatullah dalam erti kata yang sebenarnya.
Makrifatullah bermakna kenal Allah. Bukan sekadar mengucap Laa Ilah Illa Llah dengan lidah sahaja, tetapi menolak segala tuhan yang daripada Allah. Menolak semua kuasa yang lain daripada Allah. Menganggap lemah semua yang lain daripada Allah. Tidak kira kuasa itu jin, manusia, syaitan, pemerintah, kuasa dunia sekalipun, semuanya dianggap kecil dihadapan Allah SWT.
21 Safar 1437
10 November 2017
Alang Ibn Shukrimun