Home Berita PAS Terengganu

Operasi naik taraf perbekalan air Marang rancak berjalan

45
SHARE

MARANG – Kerja menaiktaraf sistem perbekalan air di daerah ini bagi menyelesaikan masalah tekanan air rendah sedang rancak berjalan.

Pengarah Projek Pemasangan Paip (Konsortium KAJV Sdn Bhd), Ir. Abdul Samad Sulaiman berkata, kerja pemasangan paip sepanjang 24 Kilometer (KM) itu telah dimulakan pada 1 Jun lalu dan ia dijangka siap Disember ini.

Katanya, ia melibatkan kos sebanyak RM54 juta yang diperuntukan kerajaan negeri.

“Projek ini bermula dari Sungai Rengas ke Tangki Miel dan sambungannya akan diteruskan sehingga ke Tangki Perkhidmatan Gondang itu dengan bekalan air diambil dari Loji Kepong 2, ini menjadi penyelesaian paling cepat untuk jangka masa pendek.

“Kerja ini diteruskan pada setiap hari bagi memastikan pemasangan paip ini dapat disiapkan tepat pada waktunya dan masalah gangguan bekalan air di Marang diselesaikan, pihak kami akan memastikan sepanjang melakukan kerja-kerja ini aspek keselamatan akan menjadi keutamaan.

“Dalam operasi ini kami akan sentiasa peka dan sangat mengalukan aduan daripada pengguna jalan raya sekiranya ada kerosakan jalan yang boleh mengundang bahaya kepada setiap pemandu,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pegawai Operasi Konsortium KAJV berkata demikian ketika UPDI melakukan tinjauan ke tempat operasi pemasangan paip di Kampung Che Hassan Gelugor Kedai, di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman.

Mengenai aduan orang ramai tentang projek terbabit yang telah mengakibatkan permukaan jalan raya rosak, Ir Abdul Samad berkata kawasan terbabit akan dibaiki secara berkala selepas projek selesai.

“Buat masa ini sebelum habis tempoh pemasangan paip hanya kerja penurapan sementara dilakukan, memang ia akan mengundang keadaan tidak selesa kepada setiap pengguna jalan raya.

“Turapan sebenar akan dibuat setelah kerja-kerja ini operasi pengujian selesai dilakukan,” ujarnya.

Dalam pada itu Ariffin mengharapkan agar proses pemasangan paip itu akan selesai mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Katanya, penduduk setempat diminta agar bersabar untuk sementara waktu.

“Dengan projek ini ia akan melegakan penduduk Marang walaupun akan ada sedikit gangguan dalam tempoh menyiapkannya,”ujarnya.