Oleh: Zuhdi Abdullah
KUALA NERUS – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Sufi Ijaz Sobre, 3, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam tali air di Kampung Kebor Besar, Manir semalam diteruskan.
Ketua Operasi Pencarian Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu, Mazimi Mohd berkata, operasi mencari dan menyelamat bagi hari kedua telah bermula seawal jam 7 pagi tadi.
“Operasi SAR masih diteruskan oleh anggota kita (JBPM) di sekitar kawasan tali air. Sehingga kini, mangsa belum lagi ditemui.
“Setakat jam 10.22 pagi ini, operasi mencari dan menyelamat masih giat dilaksanakan dan kita berharap akan menemui mangsa dalam kadar yang segera,” katanya.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak pagi ini turut melakukan lawatan ke tempat kejadian bagi menyantuni keluarga mangsa dan pasukan JBPM.
Semalam, kejadian berlaku ketika Sufi bersama abangnya melihat air sungai dari atas jambatan sekitar 10 meter dari bapanya dan dikhautiri terjatuh ketika melihat banjir di kawasan tersebut.