Home Berita PAS Terengganu

OP Kuda Laut : 1,102 pencuri hasil negara berjaya ditahan

30
SHARE

Oleh : Mohd Irsyadi Abu Bakar @trdi.my

KUALA TERENGGANU, 23 Jun – OP Kuda Laut yang dilancarkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bemula 25 Jun 2020 lalu, telah berjaya menahan 103 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara sepanjang setahun ia dilaksanakan.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli memaklumkan, tangkapan bot nelayan asing itu dianggarkan secara keseluruhan bernilai sebanyak RM154.5 juta.

“Antara yang ditahan melibatkan 61 bot dan 699 orang kru nelayan asing bagi fasa pertama dan kedua.

“Manakala, dari Januari sehingga Jun (fasa ketiga) kita telah tahan 42 bot melibatkan 403 orang kru, termasuk 42 orang yang ditahan semalam,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Maritim Terengganu, hari ini.

KM NUSA sedang membawa bot nelayan asing yang ditahan, semalam ke jeti Maritim Terengganu. Foto: Maritim Terengganu.
Jelasnya, OP Kuda Laut turut meletakkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang ketat iaitu saringan di laut untuk memastikan tahanan yang ditangkap selamat daripada jangkitan Covid-19 sebelum dibawa ke jeti Maritim untuk siasatan lanjut.

“Kita terpaksa menahan mereka sehingga proses ‘swab test’ daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat keputusan. Selain tahanan, pegawai terlibat akan turut dikuarantin sehingga keputusan ‘swab test’ tahanan di perolehi,” katanya.

OP tersebut jelasnya, merangkumi tiga fasa pelaksanaan melibatkan penangkapan dan pengusiran nelayan asing.

“Fasa pertama melibatkan penangkapan penceroboh, tetapi pada fasa kedua kita berhenti menangkap, sebaliknya melakukan pengusiran kerana penularan Covid-19 sangat tinggi melibatkan lokap tahanan dan juga penjara pada waktu itu.

“Operasi ini melibatkan pelbagai aset Maritim di perairan Terengganu, Pahang dan Kelantan yang dikawal selia sepenuhnya oleh Pusat Pengawasan Operasi Maritim (MOCC) di Kuala Terengganu,” katanya.