Home Berita PAS Terengganu

OKU pun tak takut disuntik vaksin

12
SHARE

Oleh : Fakrusy Syakirin Ahmad Sabri

HULU TERENGGANU, 16 Jun – Kekurangan fizikal bukan penghalang buat dua Orang Kurang Upaya (OKU) di Kuala Berang untuk mengambil suntikan vaksin sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Sabariah Mohd, 36, yang mempunyai kekurangan fizikal mengakui teruja mendapat suntikan dos pertama, semalam.

“Walaupun dengan keadaan kaki sebelah yang pendek, ia tidak menyusahkan saya untuk datang ke sini dengan kenderaan sendiri dari Bukit Tok Bat.

“Bagi saya, vaksin sangat penting bagi kita semua untuk menguatkan sistem imunisasi badan, tambah lagi ia akan memudahkan urusan bagi saya yang suka melancong,” katanya yang juga seorang guru al-Quran bagi warga emas.

Sementara itu, bagi OKU pendengaran dan penghidap penyakit co-morbid, Megat Putra Megat Mansur, 61, menjelaskan, usahanya untuk datang ke PPV sebagai ikhtiar melawan virus COVID-19.

Dia yang hadir berkerusi roda dengan bantuan sukarelawan MyVac menyifatkan kesanggupannya mengambil suntik vaksin adalah demi menjaga keselamatan diri dan keluarganya serta mengurangkan jangkitan wabak itu.

“Pada lima tahun lalu, saya ditimpa musibah semasa bekerja sebagai pemandu lori, sekarang pergerakan saya terbatas namun saya tetap bersungguh untuk datang ke sini.

“Tiga minggu lepas sudah terima dos pertama dan hari ini dos kedua, saya tidak dapat datang jika tiada sokongan padu yang diberikan kakitangan daerah yang datang ambil saya daripada Kampung Tok Randuk, Ajil,” katanya.

Menurut Penyelaras PPV Kuala Berang, Zuraidah Embong, golongan OKU dan mereka yang tiada kenderaan akan dibantu untuk ke pusat tersebut melalui perkhidmatan pengangkutan percuma hasil inisiatif Pejabat Daerah Hulu Terengganu.

“Dengan kerjasama pelbagai agensi daerah ini seperti Pejabat Agama, Majlis Daerah Hulu Terengganu dan Jabatan Kerja Raya (JKR), golongan seperti Megat akan dibantu untuk ke PPV di sini.

“Bilik Gerakan Imunisasi COVID-19 daerah akan menelefon bakal penerima sehari sebelum temu janji dan bertanyakan jika tiada kenderaan.

“Purata sehari dalam tiga orang penerima vaksin akan datang diambil oleh kenderaan agensi berkaitan,” jelasnya.