Oleh : Zurk Ahmad
Pagi ini, sambil-sambil melaksanakan urusan kerja di rumah (BDR) saya berkesempatan menonton rakaman ucapan YB Dato’ Seri TG Presiden PAS sempena sambutan 3 Dekad PAS Kelantan.
Perkongsian yang sangat menarik dan penuh berhikmah yang disampaikan oleh YB Dato’ Seri TG Presiden menjentik jiwa dan hati kecil saya.
Bagaimana sukarnya untuk pimpinan terdahulu memerah keringat membenih kemenangan. Juga disentuh juga hal mereka yang memikul amanah pada hari ini untuk menyiraminya dengan baja taqwa untuk terus memastikan Kerajaan PAS Negeri Kelantan bertahan subur mencapai usia 30 tahun. Perjuangan mereka yang terdahulu yang telah merintis jalan pada hari ini wajib dipertahankan. Anak muda hari ini perlu mengenal sejarah serta memahami erti perjuangan yang sebenar.
Memetik intipati tulisan YB Dato’ Seri TG Presiden satu ketika dulu – “Memahami Perjuangan Gerakan Islam”, berikut saya kongsikan semula. Sekadar beberapa.
“Perjuangan Islam bermaksud perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi pihak-pihak yang menentangnya.”
“Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu sebagai landasan utama kerana persoalan aqidah adalah bersifat menyeluruh dan evergreen. Perjuangan yang berasaskan isu akan tamat dengan selesainya isu berkenaan.”
Nota 1: Perjuangan yang berlandaskan isu bukan menjadi matlamat utama kita. Oleh itu para pemuda hari ini perlu melengkapkan diri dengan kekuatan dan kefahaman yang jelas tentang perjuangan dengan meletakkan aqidah sebagai matlamat utama.
“Islam sentiasa menghadapi tentangan. Hasil daripada dua faktor di atas, lalu timbul pula reaksi dikalangan manusia yang enggan tunduk kepada seruan dakwah Islam. Reaksi itulah yang menyemarakkan lagi pertentangan di antara Islam dengan musuh-musuhnya”
Nota 2: Menjadi lumrah mereka yang bencikan Islam dan perjuangannya akan sentiasa mencari jalan untuk melumpuhkan jentera serta pimpinan. Para pemudalah yang perlu mara ke hadapan menjadi benteng dan juga duta kepada cahaya perjuangan ini.
Nota 3: Para pemuda perlu sentiasa mengimpikan kemenangan hakiki yang menyeluruh. Untuk itu menjadi kewajipan para pemuda untuk mempersiapkan diri memburu kemenangan dan seterusnya mengisi serta mempertahankannya dengan penuh hikmah.
Nota 4: Setiap pejuang Islam perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah dan bergantung kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Dia (Allah) boleh mengurniakan kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada golongan lain.
Nota 5: Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengisi kemenangan.
Kembali kepada rakaman video yang saya sebutkan diawal tadi. Besar maksudnya bila Tuan Guru Presiden kesayangan kita berpesan dengan nada sebak “teruskan perjuangan” diakhir ucapan tersebut. Tersurat dan tersirat. Khususnya pada kita semua para pemuda.
Nota 6: Jadikan pengalaman mereka yang terdahulu sebagai pengajaran untuk kita meneruskan langkah perjuangan yang suci ini.
Zurk Ahmad
Pengarah Pilihanraya
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
22 Oktober 2020 | 4 Rabi’ul Awwal
Berjuang dari rumah.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor