Home Berita PAS Terengganu

Nelayan ‘Tak Sangka’ Kuala Kijal kini milik rakyat

13
SHARE

KEMAMAN – “Tak sangka Kuala Kijal kini kembali kepada kita, ” itulah luahan syukur majoriti nelayan tempatan apabila kawasan Kuala Kijal, yang telah lebih 30 tahun berada di bawah pemilikan swasta, kini secara rasmi kembali menjadi milik Kerajaan.

Ketika tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) bersama nelayan dan penduduk kampung semalam, ramai meluahkan rasa syukur dan harapan baru.

Zulkapli Johar, 63, seorang penduduk dan keluarga dari nelayan berkata pemilikan semula Kuala Kijal amat besar maknanya kepada komuniti nelayan di Kijal yang sekian lama berdepan pelbagai kekangan.

“Majlis hari ini bukan sekadar tanda syukur, tapi simbol harapan baru kepada kami.

“Setelah 30 tahun menunggu, akhirnya ada laluan yang akan dibuka khas untuk bot-bot nelayan keluar masuk ke laut. Insya-Allah, akan lebih banyak bot berlabuh di Kuala Kijal nanti,” katanya selepas Majlis berkenaan bertempat di Wakaf Kuning, Pantai Penunjuk Kijal, semalam.

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Khadir, 58, turut menzahirkan penghargaan kepada usaha yang dipimpin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris.

“Terima kasih kerana berjaya ambil balik Kuala Kijal. Insya-Allah, kaum-kaum nelayan boleh masuk ikut beloh nung (belah sana) pulok lepas ni.

“Dulu kita tengok je kawasan tu, sekarang milik kita balik,”ujarnya.

Terdahulu, Razali berkata, dua faktor utama menjadi pemangkin kepada keputusan kerajaan untuk mengambil semula tanah tersebut.

“Pertama, pembinaan struktur pemecah ombak (breakwater) yang bukan sahaja memberikan perlindungan kepada bot nelayan daripada ombak besar, tetapi juga menyediakan kawasan parkir bot yang lebih selamat.

“Kedua, keperluan untuk mengawal hakisan pantai yang semakin serius di Penunjuk dan Kampung Che Wan, dengan kehilangan tanah antara tujuh hingga sepuluh kaki setiap tahun,” katanya.

Tambahnya lagi, dengan adanya pemecah ombak, hakisan dapat dikawal, sekali gus memelihara keindahan pantai di Kijal.