Home Berita PAS Terengganu

Nelayan hilang : Masjid, surau adakan Solat Hajat

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Usaha mencari Mohd Nor Abdullah, nelayan yang dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu di perairan berhampiran Pulau Bidong, terus dipergiatkan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk pendekatan kerohanian oleh masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, seiring pencarian fizikal yang dijalankan agensi penyelamat dan pasukan sukarelawan, masyarakat di sekitar turut memainkan peranan penting dengan mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat sejak malam pertama kehilangan mangsa.

“Beberapa buah surau dan masjid di kawasan sekitar pusat operasi telah menganjurkan program kerohanian tersebut secara berjemaah, memohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah SWT agar pencarian dipermudahkan serta mangsa ditemukan dalam keadaan selamat.

“Hanya kepada Allah SWT tempat kita berserah. Doa dan harapan kita adalah agar misi pencarian esok hari lebih dipermudahkan dan membuahkan hasil,” ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri selepas meninjau operasi CARILAMAT hari ini.

Dalam perkembangan terkini, Hishamuddin memaklumkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) telah menemui beberapa peralatan dipercayai milik mangsa, termasuk tong ikan dan pelapik duduk bot yang dikenal pasti oleh ahli keluarga.

“Namun, mangsa dan bot miliknya masih belum dijumpai.

“Sementara itu, satu pasukan sukarelawan penyelam turut menjalankan pencarian bawah permukaan di kawasan berhampiran lokasi terakhir mangsa dipercayai berada.

“Masyarakat diseru untuk terus mendoakan keselamatan Mohd Nor dan kekuatan buat keluarganya yang menanti dengan penuh harapan,” tambah beliau.

Operasi CARILAMAT mangsa ditangguhkan 7.30 malam dan akan dksambung semula 7 pagi esok.