Dari Meja Ketua Penerangan PAS Selangor | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Antara “2 Pandemik” : Pandemik COVID-19 Yang Mengancam Nyawa & Pandemik Politiking Gila Kuasa
Ketua Penerangan PAS Selangor
Rakyat Malaysia hari ini berdepan dengan 2 pandemik yang melanda negara. Satu pandemik adalah benar-benar pandemik wabak yang mengancam nyawa rakyat iaitu Covid-19. Pelbagai usaha dan kempen kesedaran dibuat bagi mengekang penularan pandemik ini. Usaha dalam bentuk PKP, Program Imunisasi Covid dan bantuan serta insentif yang ditawarkan kerajaan untuk membantu rakyat yang berdepan dengan kekangan kehidupan.
Menentang pandemik ini sudah dilihat ada usaha. Walau mungkin tidak cukup tapi usaha boleh dipertingkatkan. Jika dilihat untuk mengekang penularan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan diseluruh negara. Frontliner dikalangan anggota keselamatan sudah menjalankan tugas yang terbaik. Frontliner dikalangan pegawai perubatan juga bertungkus lumus menyelamatkan nyawa rakyat. Jika dilihat pada imunasi melalui vaksin, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah diwujudkan. Kempen kesedaran dan program vaksinasi diperingkatkan sehingga mencecah 300 ribu sehari jumlah pengambilan vaksin seluruh negara. Jika hendak dilihat pada ekonomi dan survival kehidupan rakyat, pihak Kerajaan Malaysia telah umumkan pelbagai inisiatif termasuk BPN, BPR, Pemerkasa, Pemerkasa Plus, PEMULIH dan lain-lain lagi. Tidak kurang juga peranan NGO-NGO, individu, parti politik dan mereka yang prihatin kepada rakyat.
Namun terdapat satu lagi pandemik yang melanda negara iaitu pandemik yang dicipta oleh politikus yang tidak habis-habis berpolitiking untuk merebut kuasa. Bukan lagi rebut kuasa akan tetapi sudah gila kuasa. Tidak kira apa cara, walau rakyat berdepan dengan taruhan nyawa akibat pandemik Covid-19, politikus ini terus menerus meletakkan kepentingan peribadi dan agenda kerakusan kuasa berbanding yang lain.
Pilihanraya Umum ke 15 tidak lama lagi. Disitulah medan sebenar untuk berpencak silat. Samada kalah atau menang biar dalam gelanggang. Jangan salahkan Kerajaan PN memerintah dipertengahan Kerajaan PH. Hakikat perlu diterima Kerajaan PH tumbang apabila PM Kerajaan PH meletakkan jawatan. Untuk memastikan negara tidak terumbang ambing tanpa “nakhoda”, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong telah mencemar duli menyelesaikan kemelut dan menyelamatkan negara dengan pemilihan Perdana Menteri yang baru. Siapa pun tidak boleh menafikannya.
Kini, semua dikalangan kita sewajarnya perlu beri tumpuan pada pemulihan kes Covid-19 yang sedang menggila. Bukan kepada politikus yang gila kuasa. Negara masih berdepan dengan penularan pandemik Covid-19 yang tidak menentu. Saban hari angka kes tidak menunjukkan tanda-tanda yang akan turun sekaligus menstabilkan situasi negara dari ancaman wabak ini. Covid-19 tidak kenal siapa, tidak kenal agama dan bangsa. Dan tidak kenal apa warna latar belakang politik yang dianuti.
24 Zulkaedah 1442H | 5 Julai 2021
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor